Polis siasat sekumpulan anggota merokok di kedai makan

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

IPOH 7 April. – Polis Perak menjalankan siasatan tatatertib berhubung isu beberapa anggotanya berpakaian uniform yang merokok selepas selesai menjalankan tugas di sebuah gerai makan di Pasir Puteh di sini, seperti yang tular dalam laman sosial hari ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Ipoh Superintendan Mohamed Nordin Abdullah berkata, tindakan itu dibuat bagi mengenal pasti sama ada terdapat sebarang pelanggaran tatatertib atau kod etika Polis Diraja Malaysia (PDRM) oleh anggota terbabit.

“Semakan PDRM Daerah Ipoh mendapati individu dalam gambar tersebut merupakan anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB), Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh.

“Sehubungan dengan itu, satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Pasir Puteh mengenai perkara yang tular berkenaan untuk dirujuk kepada Kementerian Kesihatan (KKM) bagi tindakan siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamed Nordin berkata isu berkenaan telah ditularkan oleh pengguna laman media sosial Facebook, Araa Qisha dan turut dikongsikan laman Facebook Public Health Malaysia yang mendapat perhatian umum.

“Saya ingin menegaskan pihak PDRM Daerah Ipoh sentiasa menjalankan amanah dengan adil, telus dan profesional dan anggota polis juga tertakluk kepada pematuhan undang-undang yang sedang berkuat kuasa di negara ini,” katanya.

Mohamed Nordin berkata pihaknya turut mengalu-alukan sebarang maklum balas mengenai perkhidmatan mereka namun diharapkan agar segala permasalahan dan aduan tentang tingkah laku atau perkhidmatan dapat disalurkan melalui saluran yang betul iaitu dengan menghubungi Pusat Kawalan IPD Ipoh di talian 05-2542222.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1437
Kongsi :
Previous post Kau dah kenapa?
Next post M-WEZ: ‘Tiada Rakyat Yang Terpinggir’ – KM
Ubah saiz-+=