Polis siasat video kemalangan tular

Masa Membaca:1 Minit, 3 Saat

KLEBANG 12 Jun – Polis masih menyiasat penularan sebuah video kemalangan membabitkan dua buah kereta di Jalan Setulang Daeng, Bukit Rambai dekat sini malam tadi.

Kemalangan kira-kira jam 9 malam itu, membabitkan sebuah kereta Peugeot dan Toyota Vios dipandu dua lelaki masing- masing berusia 34 dan 52 tahun.

Video kemalangan berdurasi lebih satu minit yang tular itu memaparkan keadaan kecoh selepas insiden itu yang dikatakan berpunca daripada salah seorang pemandu yang didakwa memandu dalam keadaan mabuk.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, lelaki berusia 34 tahun itu tampil membuat laporan polis kira-kira jam 1.30 petang tadi di Balai Polis Trafik Melaka Tengah.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta dipandu lelaki terbabit yang dalam perjalanan dari Batang Tiga menghala ke Bukit Rambai telah memotong sebuah motosikal sebelum memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan Toyota Vios secara berhadapan yang kebetulan melalui lokasi kejadian.

“Hasil saringan awal air kencing dilakukan mendapati lelaki terbabit negatif tetapi kita masih menunggu laporan pengesahan kandungan alkohol dalam darah dari Hospital Melaka untuk tindakan lanjut.

“Pemandu Toyota Vios juga sudah tampil membuat laporan. Selain itu polis juga akan memanggil saksi yang terlibat untuk dirakam percakapan mereka,” katanya.

Afzanizar berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Views:

1146
Kongsi :
Previous post UTC Melaka sedia terima pelanggan dalam norma baharu
Next post Selepas hampir tiga bulan, banyak masjid dan surau kini dibuka
Ubah saiz-+=