UTC Melaka sedia terima pelanggan dalam norma baharu

Masa Membaca:1 Minit, 8 Saat

BANDARAYA MELAKA 12 Jun – Pusat Transformasi Bandar (UTC) Melaka akan kembali beroperasi pada Isnin ini, selepas ditutup sejak 18 Mac lalu berikutan penularan wabak Covid-19.

Pengurus UTC Melaka, Siti Aisyah Mahmood berkata, selain dibuka semula kepada orang ramai masa operasinya turut dilanjutan sehingga malam.

Beliau berkata, sebagai persediaan dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pihaknya sudah mewujudkan garis panduan serta tanda penjarakan sosial dan juga pemakluman pemakaian pelitup muka.

“Jika sebelum ini dalam sehari kita menerima sehingga kira-kira 6,000 pelanggan tetapi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) hanya 300 individu sahaja dibenarkan masuk dalam satu masa.

“Ini bagi memastikan tidak berlaku kesesakan malah setiap agensi di sini hanya dibenarkan menerima 10 pelanggan dalam satu masa selain hanya empat individu boleh menggunakan lif,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, bermula Isnin ini juga, UTC akan beroperasi dari jam 8 pagi hingga 9 malam dari Isnin hingga Jumaat manakala pada hujung minggu pula sehingga jam 5 petang.

“UTC akan beroperasi selama tujuh hari kecuali pada cuti umum persekutuan atau negeri. Selain itu, tiada waktu rehat bagi UTC kecuali pada hari Jumaat,” katanya.

Semalam, Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan memaklumkan waktu operasi UTC akan turut diseragamkan sejajar dengan teras ketiga Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) iaitu merangsang ekonomi melalui pelanjutan waktu perkhidmatan dalam norma baharu.

Views:

751
Kongsi :
Previous post Menara Taming Sari tawar diskaun 50 peratus sempena pembukaan semula
Next post Polis siasat video kemalangan tular
Ubah saiz-+=