Polis tahan dua sepupu, rampas syabu lebih 15 kg bernilai RM2.4 juta

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

BUKIT BERUANG 18 Jan. – Dua sepupu tidak sempat menikmati hasil jualan dadah apabila ditahan polis susulan rampasan 15 bungkusan berisi dadah syabu seberat 15.78 kilogram bernilai kira-kira RM2.4 juta, berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Lereh dekat sini, Khamis lalu.

Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata, suspek pertama seorang penganggur berusia 39 tahun ditahan ketika cuba melarikan diri selepas mencampakkan beg dibawanya apabila terserempak sepasukan anggota cegah jenayah di lokasi kejadian jam 7.05 malam hari sama.

Beliau berkata, suspek pada mulanya dilihat berjalan seorang diri dalam keadaan mencurigakan dan membawa sebuah beg pakaian berwarna hitam.

“Apabila dihampiri dan anggota peronda memperkenalkan diri sebagai polis, suspek terus mencampakkan beg ke atas rumput berhampiran dan cuba melarikan diri.

“Lelaki itu berjaya ditahan dan pemeriksaan ke atas beg dibawanya menemui 15 bungkusan mampat berbalut pembungkus teh Cina yang dipercayai mengandungi dadah, serta wang tunai RM3,400, dipercayai hasil jualan dadah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri hari ini.

Abdul Majid berkata, hasil siasatan lanjut pihaknya menahan sepupu suspek berusia 39 tahun di Bukit Puchong, Subang, Selangor serta menyita wang tunai RM21,800 pada jam 4 pagi semalam.

Katanya, polis turut menyita kenderaan jenis Toyota Hillux yang disyaki digunakan suspek dalam kegiatan pengedaran dadah.

“Kedua-duanya merupakan saudara sepupu berasal dari Selangor. Kita percaya mereka adalah ‘transporter’ bagi sindiket bekalan dadah yang dibawa masuk dari negara jiran melalui jalan-jalan tikus sewaktu tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan rampasan dadah ini adalah yang terbesar untuk pasaran tempatan setakat ini,” katanya.

Abdul Majid berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, memperuntukkan hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan.

Katanya, suspek pertama mempunyai enam rekod jenayah lampau termasuk lima rekod dadah dan direman tujuh hari bermula Jumaat lalu, manakala sepupunya tiada rekod jenayah direman selama tujuh hari bermula semalam.

Views:

1094
Kongsi :
Previous post 83 kakitangan IPK jalani ujian saringan COVID-19 selepas dua positif
Next post ‘Kalau saya tak ada, awak macam mana?’
Ubah saiz-+=