Polis terima dua laporan kejadian kekecohan tular disyaki akibat percintaan

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

IPOH, 19 Feb – Polis menerima dua laporan mengenai dua kejadian kekecohan yang berlaku di pekarangan Jabatan Kecemasan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) dan Buntong di sini yang kedua-duanya mempunyai kaitan, sehingga tular dalam media sosial hari ini.

Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata kes pertama adalah mendatangkan kecederaan oleh seorang lelaki dengan menggunakan senjata tajam di satu kawasan di Buntong sehingga menyebabkan tiga individu mengalami kecederaan dan sedang menerima rawatan di HRPB.

“Punca kejadian disyaki perselisihan faham antara dua keluarga mengenai isu percintaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah,” katanya.

Beliau berkata kes kedua diterima pada pukul 12.20 tengah malam semalam di HRPB melibatkan sekumpulan lelaki yang ingin menghantar mangsa yang cedera (dalam kes pertama) ke hospital dan berlaku perselisihan faham dengan pengawal keselamatan hospital kerana terlalu ramai ingin masuk ke kawasan zon kecemasan.

Mior Faridalathrash berkata pihaknya telah mengambil tindakan segera dengan sampai ke tempat kejadian dan mengawal keadaan serta kes disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

Menurutnya, polis sedang mengesan suspek yang dipercayai terlibat dalam kedua-dua kes berkenaan.

Mior Faridalathrash berkata orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian tersebut boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat Kanan ASP Fadli Ahmad menerusi talian 019-2500019.

Beberapa video dalam media sosial tular memaparkan pergaduhan oleh sekumpulan lelaki dengan pengawal keselamatan sehingga sebuah kereta dilihat merempuh pekarangan hospital tersebut.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

820
Kongsi :
Previous post Ketua Menteri solat Subuh bersama 700 jemaah di Masjid Al-Azim
Next post Wanita maut dikelar dalam pergaduhan
Ubah saiz-+=