Polis tumpas kes jenayah ketika SJR

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

AYER KEROH 4 April – Pelaksanaan sekatan jalan raya (SJR) di negeri ini turut memberi kejayaan kepada polis menumpaskan kes jenayah selain bertujuan memeriksa dan mengehadkan pergerakan masyarakat dalam usaha mengekang penularan pandemik COVID-19.

Pegawai Turus Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Melaka, Deputi Superintendan Nik Ab Halim Nik Mat berkata, buktinya sepanjang Mac lalu sehingga 1 April lalu, polis berjaya menumpaskan empat kesalahan jenayah ketika SJR.

Kejayaan itu juga menurut beliau, hasil pemantauan tindakan individu yang menyalahgunakan surat kebenaran majikan untuk merentas negeri, bagi tujuan aktiviti sosial dan bukannya urusan tugas rasmi.

PEGAWAI Turus Ketenteraman Awam IPK Melaka, Deputi Superintendan Nik Ab Halim Nikmat

“Dalam tempoh itu, polis yang melakukan pemeriksaan SJR berjaya menahan 14 individu membabitkan 13 kes termasuk pengedaran dadah dan orang yang dikehendaki bagi membantu siasatan.

“Antara kes terbesar adalah ketika SJR di Simpang Empat, Alor Gajah yang mana polis berjaya merampas 500 gram dadah jenis syabu yang boleh merosakkan 2,000 penagih dadah bernilai RM30,000,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Selain itu, Nik Ab Halim berkata polis turut berjaya menahan beberapa kes lain dalam SJR melibatkan pemilikan senapang angin, menggunakan nombor plat palsu dan memiliki pelbagai jenis mercun.

Semua kes itu katanya disiasat mengikut Seksyen 6 Akta Bahan Hakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958, Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

“Saya ingin menegaskan pihak polis akan terus mengetatkan pemeriksaan di semua lokasi SJR terutamanya bagi memantau isu salah guna surat majikan untuk rentas negeri.

“Memang dalam surat dinyatakan rentas negeri untuk urusan tugas namun ada yang mengambil kesempatan untuk tujuan lain.

“Kita akan siasat sebelum mengambil tindakan terhadap mereka yang didapati menyalahgunakan surat kebenaran untuk rentas negeri ini supaya menjadi pengajaran kepada masyarakat lain,” tegasnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

745
Kongsi :
Previous post Tun Mohd Ali rasmi penutup Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Negeri Melaka
Next post Dr Noor Hisham dianugerah ijazah kehormat doktor falsafah pada Konvokesyen UKM ke-48
Ubah saiz-+=