Positif Covid-19 kekal satu angka, hanya dua kes baharu, 20 kes pulih – KP Kesihatan

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

KUALA LUMPUR 30 Jun – Kes jangkitan COVID-19 di negara kekal mencatatkan satu angka dengan hanya dua kes baharu dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah kumulatif 8,639 kes manakala 20 kes pulih sekali gus menjadikan jumlah kebolehjangkitan turun kepada 164 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada dua kes baharu itu, masing-masing satu kes penularan dalam negara manakala satu lagi kes import.

“Kedua-dua kes ini melibatkan warganegara Malaysia. Tiada penularan dalam negara dalam kalangan bukan warganegara dilaporkan hari ini,” menurutnya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Memperincikan kes penularan dalam negara, beliau berkata satu kes dikesan di Hospital Kota Belud, Sabah melalui saringan prarujukan yang dijalankan ke atas pesakit.

Noor Hisham berkata sehingga kini, kes positif COVID-19 kekal empat kes yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah itu hanya satu kes memerlukan bantuan pernafasan.

Beliau berkata tiada pertambahan kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia kekal sebanyak 121 kes selama 16 hari berturut-turut, mewakili 1.40 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Mengenai kes sembuh, Dr Noor Hisham berkata terdapat 20 kes pulih dan dibenarkan discaj menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya sebanyak 8,354 atau 96.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Sejak Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPP) dilaksanakan pada 10 Jun sehingga kini, jumlah kumulatif kes harian adalah 303 kes.

“Jika dilihat pada taburan kes harian sepanjang pelaksanaan PKPP, ia dalam lingkungan satu hingga dua angka. Ini membuktikan ‘pemulihan’ negara telah bermula. ‘Pemulihan’ ini adalah dari segi mengimbangi nyawa dan mata pencarian rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan rakyat agar tidak alpa dengan trend penurunan kes sebaliknya lebih berwaspada dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) serta mengamalkan langkah-langkah pencegahan setiap masa.

“Seperti dinyatakan Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Dunia Dr Tedros Adhanom menerusi taklimat maya, pandemik COVID-19 di dunia masih belum berakhir malah secara global, kes pandemik ini semakin meningkat. Beliau turut memberi amaran bahawa situasi COVID-19 di seluruh dunia dijangkakan semakin melarat,” katanya.

– BERNAMA

 

Views:

1192
Kongsi :
Previous post Warga asing tidak mengaku buang bayi
Next post Melaka antara 3 negeri terbaik patuh PKPB
Ubah saiz-+=