PPS kelapan dibuka di SK Demang Husin

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

AYER KEROH 18 Mei. – Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Demang Husin menjadi pusat kelapan dibuka bagi menampung peningkatan jumlah mangsa banjir hari ini.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Melaka Leftenan Kolonel (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata, PPS SK Demang Husin dibuka pada jam 11.30 pagi tadi susulan air sungai melimpah ke kawasan Tebing Tinggi Bukit Katil.

 

PENDUDUK Mohd Ridzwan Mohd Tahir, 35, dibantu anaknya mengalihkan barang di tempat yang tinggi selepas rumahnya dilanda banjir di Taman Tuah Perdana, Bukit Katil ketika tinjauan sekitar jam 10 pagi tadi. Foto: MR. AZLI

Katanya, berikutan itu PPS itu dibuka bagi menempatkan penduduk yang terjejas banjir di kawasan itu.

“Bagaimanapun, setakat jam 1 tengah hari tadi jumlah mangsa yang ditempatkan di PPS itu masih belum diketahui berikutan proses pendaftaran masih dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, bagi daerah Melaka Tengah, 106 keluarga membabitkan 477 orang ditempatkan di lima PPS iaitu di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Mutahir, SK Ayer Molek, Sekolah Rendah Agama (SRA) Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Tanjung Minyak, SMK Bukit Rambai dan SJKC Malim.

“Bagi daerah Jasin dan Alor Gajah hanya satu PPS masing-masing dibuka.

“Sebanyak 17 keluarga masih ditempatkan di PPS SJKC Shuh Yen, Jasin manakala 13 keluarga lagi dipindahkan ke Dewan Japerun Durian Tunggal,” katanya.

Hujan lebat berterusan pada awal pagi semalam mengakibatkan beberapa kawasan dilanda banjir kilat termasuk Sungai Putat, Bukit Beruang, Tanjung Minyak dan Ayer Molek serta Bukit Katil.

Beberapa kawasan di Jasin turut mengalami banjir iaitu di kawasan Tanjung Leboh Tehel, Lubok Kasau Bemban dan Taman Hang Tuan Perdana.

Turut dilanda banjir kilat, beberapa kawasan di Durian Tunggal, Alor Gajah antaranya termasuk Kampung Bukit Tambun dan Kampung Bukit Balai.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

738
Kongsi :
Previous post Tiada istilah perabot baharu
Next post Polis Johor lumpuh sindiket dadah antarabangsa, rampas syabu bernilai lebih RM4.5 juta
Ubah saiz-+=