Presiden persatuan, bekas atlet antara calon timbalan ketua kontinjen Sukan SEA 2021

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

KUALA LUMPUR 31 Mac – Bekas atlet dan presiden persatuan sukan kebangsaan antara calon Timbalan Ketua Kontinjen negara ke Sukan SEA 2021 di Hanoi, Vietnam pada 21 November hingga 2 Disember depan.

Ketua Kontinjen negara ke temasya itu Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, beliau sedang mengenal pasti beberapa individu yang memiliki kriteria ditetapkan dan pemilihan akan dibuat selepas Aidilfitri, Mei depan.

Beliau mengakui terdapat antara bekas atlet mempunyai kredibiliti sebagai pemimpin sekali gus menjadi ikon untuk mendorong atlet mencipta kejayaan pada temasya dwitahunan itu.

“Sebenarnya saya telah temu duga beberapa orang, saya perlu membuat pemilihan yang betul dan tidak terburu-buru kerana sekarang belum ada sangat kerja mustahak.

“Hanya selepas Aidilfitri kita akan ada mesyuarat sekretariat dan mesyuarat pengurus pasukan setiap bulan, jadi insya-Allah selepas raya, saya akan umum timbalan ketua kontinjen,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Liga SupaRimau di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) di Kelana Jaya, semalam.

Beliau berkata perkara itu akan dirujuk kepada Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria dan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican sebelum memuktamadkan pemilihan tersebut.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan bola sepak, Hamidin yang juga Presiden FAM menyifatkan lima aksi pertama saingan Liga Malaysia (Liga-M) berjalan dengan baik meskipun terdapat beberapa insiden melibatkan pengadil dan ‘keganasan bola sepak’ dilakukan pemain ketika perlawanan.

Beliau telah mengarahkan Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM Datuk S. Sivasundaram agar lebih kerap mengadakan pertemuan dengan barisan pengadil tempatan untuk mengetahui masalah dihadapi seterusnya mencari solusi bagi meningkatkan mutu pengadilan.

“Ada beberapa perkara yang beliau (Sivasundaram) cadangkan, saya terus memberikan lampu hijau. FAM di pihak jawatankuasa pengadil sangat sensitif berhubung isu ini dan komited untuk berikan yang terbaik,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1153
Kongsi :
Previous post Sarung uniform sekolah demi anak
Next post ‘Kudung’ jari manis diserang babi hutan ketika petik serai
Ubah saiz-+=