PRN Johor bukan medan ‘lepas geram’ – Shahrir Samad

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

JOHOR BAHRU, 4 Mac – Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak boleh dijadikan sebagai medan melepaskan ‘geram’ sebaliknya pengundi perlu membuat keputusan dengan mengambil kira manfaat dan kebaikan yang bakal diperoleh mereka jika memilih sesebuah parti politik.

Veteran UMNO Tan Sri Shahrir Samad berkata tindakan sedemikian hanya akan menjejaskan masa depan rakyat dan negeri.

“PRN ini bukan untuk melepaskan geram kerana hasutan atau polemik politik, ia serius bagi masa depan lima tahun akan datang. Ini bukan tempoh masa yang pendek,” katanya ketika diwawancara dalam program Suara Johor yang disiarkan di Bernama TV hari ini.

Beliau berkata sebagai contoh, Barisan Nasional (BN) Johor sebelum ini telah merancang pelbagai program bagi pembangunan negeri dan rakyat namun terbantut selepas parti itu tewas pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Justeru, Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru itu berkata kestabilan politik yang diperjuang parti tersebut menerusi Ikhtiar BN amat penting dalam merencana masa depan Johor.

Ikhtiar BN Johor menggariskan lima teras utama iaitu kemajuan ekonomi, kesejahteraan rakyat, ikhtiar khusus untuk orang muda, membudayakan pentadbiran berintegriti dan melaksana reformasi politik.

Shahrir yakin kepimpinan Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad mampu mengangkat Johor sebagai sebuah negeri makmur yang mempunyai ekonomi maju dan infrastruktur moden.

“Beliau telah menstabilkan sedikit keadaan di Johor tetapi beliau nak buat lebih lagi, dan dari segi pengalamannya, apabila digandingkan dengan tenaga baharu kelak…boleh menubuhkan satu pasukan lebih mantap,” katanya.

Beliau berkata sebelum Hasni, Johor telah mengalami pertukaran Menteri Besar selepas PRU14 melibatkan Allahyarham Datuk Osman Sapian di bawah Pakatan Harapan (PH) yang meletak jawatan dan diambil alih oleh Datuk Dr Sahruddin Jamal sebelum kejatuhan PH.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 12 Mac ini sebagai hari pengundian PRN Johor manakala undi awal pada 8 Mac.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

502
Kongsi :
Previous post Ibu bapa remaja diberi penerangan perkembangan siasatan punca kematian
Next post UMNO berlapang dada terima mereka yang kembali kepada parti
Ubah saiz-+=