PRN Johor: Salahuddin, Suhaizan antara 16 calon Amanah

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

JOHOR BAHRU, 18 Feb – Timbalan Presiden Amanah Datuk Seri Salahuddin Ayub dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Suhaizan Kaiat adalah antara 16 calon parti itu yang diumumkan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac ini.

Pada Majlis Pengumuman Calon PRN Johor di sini hari ini, Presiden Amanah Mohamad Sabu turut mengumumkan Pengerusi Amanah Johor Aminolhuda Hassan dan timbalannya Dzulkefly Ahmad, sebagai calon pada pilihan raya tersebut.

Mohamad berkata Salahuddin yang juga penyandang kerusi DUN Simpang Jeram, Aminolhuda (Parit Yaani) dan Dzulkefly (Kota Iskandar) akan mempertahankan kerusi mereka, manakala Suhaizan akan bertanding di kerusi Pulai Sebatang.

Dalam pada itu, Dr Sulaiman Mohd Nor dan Nor Hayati Bachok akan mempertahankan kerusi DUN masing-masing iaitu Kemelah dan Maharani, manakala penyandang kerusi DUN Pulai Sebatang Muhammad Taqiuddin Cheman akan bertanding di kerusi Mahkota.

Calon muka baharu pula ialah Elia Nadira Sabudin (Bukit Pasir), ‘Asim’ Abdullah Ainullotfi (Serom), Abd Hamid Jamah (Senggarang), Rohani Banu Abd Rahman Krishnan (Kahang), Ahmad Daniel Shahrudin (Panti), Norazila Sanip (Penawar) dan Syed Othman Abdullah (Permas).

Dua lagi muka baharu, Mat Khairi Samsudin, 66, yang menjadi calon tertua Amanah akan bertanding di kerusi Sedili, manakala Mohammad Fakrulradzi Mahmud (Endau), menjadi calon paling muda berusia 32 tahun.

Sementara itu, Salahuddin berkata antara kriteria penting dalam pemilihan calon kali ini adalah dengan mengutamakan integriti, amanah, kelulusan, berkerjaya selain berpengalaman dalam politik.

“Kita adalah parti yang cuba membuktikan kita relevan, progresif, mengekalkan kombinasi, tidak memilih gender atau usia dan ada kombinasi antara calon veteran dan paling muda.

“Ini satu pendekatan Amanah dan Pakatan Harapan (PH) yang saya rasa akan dapat menggamit sokongan dalam PRN kali ini,” katanya kepada pemberita selepas pengumuman tersebut.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Amanah bertanding 12 kerusi DUN dan menang sembilan kerusi iaitu Kemelah, Serom, Simpang Jeram, Maharani, Parit Yaani, Senggarang, Mahkota, Kota Iskandar dan Pulai Sebatang.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

972
Kongsi :
Previous post PRN Johor: SPR perlu lanjutkan tempoh pendaftaran pengundi pos – Saifuddin Nasution
Next post KKMM, MOF bentang memorandum jemaah menteri untuk selesaikan isu berkaitan DNB
Ubah saiz-+=