PRN Melaka: Pengundi positif COVID-19 dikesan keluar mengundi

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

ALOR GAJAH 20 Nov – Sebuah bilik di pusat mengundi di daerah Alor Gajah terpaksa ditutup sementara selepas seorang pengundi positif COVID-19 hadir mengundi, hari ini.

Pengarah Kesihatan Melaka, Dr Rusdi Abd Rahman berkata, pihaknya menerima notifikasi dari Pusat Penilaian COVID-19 Melekek berhubung perkara itu.

Jelasnya, pengundi berkenaan hanya mengetahui dirinya positif COVID-19 selepas menerima keputusan ujian dari makmal swasta selepas selesai mengundi.

“Pesakit ini tidak menunjukkan sebarang gejala pada waktu mengundi.

“Sehubungan itu, pihak PKD Alor Gajah telah mengambil tindakan segera iaitu mengarahkan pihak Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) di pusat mengundi terlibat untuk menutup sementara kawasan berisiko termasuk saluran mengundi untuk proses disinfeksi menyeluruh.

“Disinfeksi ini telah dijalankan dengan kerjasama pihak Bomba dan pihak SPR telah mengambil langkah segera membuka bilik baru sebagai saluran mengundi dengan menggunakan peralatan yang baru,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya lagi, pasukan pemantauan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Alor Gajah juga telah diarahkan ke pusat mengundi terlibat untuk memastikan kawalan infeksi dijalankan secara teratur.

Beliau berkata, Jabatan Kesihatan Negeri memandang serius perkara yang berlaku ini dan siasatan lanjut sedang dijalankan dengan terperinci.

“Semua kontak rapat dan sosial sedang disiasat oleh Bilik Gerakan PKD Alor Gajah.

“Sehubungan itu, saya memohon orang ramai agar merujuk kepada kenyataaan rasmi oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan JKN Melaka.

“Untuk mendapatkan maklumat sahih dan sebarang pertanyaan mengenai perkara tersebut, orang ramai boleh menghubungi Crisis Preparedness and Response Center (CPRC) Melaka di talian 06-2345999 atau melalui e-mel [email protected],” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

572
Kongsi :
Previous post ‘Naruto celup’ tutup tirai undi di SK Ramuan China Besar
Next post Sulaiman, Abdullah hadir di pusat penjumlahan undi DUN Lendu
Ubah saiz-+=