PRN: Pembahagian kerusi BN, PH hampir selesai – Ahmad Zahid

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

MASJID TANAH 6 Mei – Pembahagian kerusi Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri terlibat hampir selesai, kata Presiden UMNO Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, perkara itu bagaimanapun akan dibawa ke peringkat pusat untuk diperhalusi dan diputuskan.

“Setakat ni persiapan kami adalah menentukan kerusi yang akan diagihkan di peringkat negeri, insya-Allah ia telah hampir selesai perundingan di antara BN dan PH.

“Selepas ia selesai, semua keputusan negeri akan dibawa ke parti masing-masing sebelum diadakan perundingan di peringkat nasional untuk kita memuktamadkan pembahagian kerusi.

“Saya yakin di peringkat negeri kebanyakannya telah ada kesefahaman yang baik antara pemimpin-pemimpin parti dalam BN dan juga PH,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka 2023 di Villa D’Acqua, Kampung Pulau, malam tadi.

Turut hadir Ketua Menteri merangkap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh; Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari; Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu; Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun).

Mengulas lanjut Ahmad Zahid berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebagai pengerusi PH, akan mengadakan mesyuarat penyelarasan Kerajaan Perpaduan Ahad (7 Mei) ini.

“Mesyuarat itu bagi mendengar persiapan parti-parti untuk PRN di enam negeri terlibat iaitu Pulau Pinang, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu.

“BN dan PH tidak memandang rendah persaingan dalam PRN kali ini kerana ia akan mencerminkan penerimaan rakyat terhadap Kerajaan Perpaduan.

“Insya-Allah, segala persiapan telah dibuat dengan sebaik mungkin dan apa yang penting ialah kerjasama antara jentera parti, bukan sahaja di peringkat negeri, malah di pusat pengundian daerah dan di peringkat lokaliti,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2070
Kongsi :
Previous post 10,000 tetamu banjiri rumah terbuka Aidilfitri Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka
Next post Tayar botak: JPJ Melaka keluar 214 notis setakat April 2023
Ubah saiz-+=