Produk ekopelancongan umpama emas berharga – MOTAC

Masa Membaca:2 Minit, 9 Saat

AYER LIMAU 19 Januari – Produk ekopelancongan di negara ini umpama emas yang berharga pada masa akan datang berikutan hampir seluruh dunia lebih memfokuskan sektor itu sebagai daya tarikan utama dalam sektor pelancongan.

Rentetan itu, pelbagai langkah sedang diambil kerajaan bagi memastikan sektor itu menjadi keutamaan kerajaan bagi menarik lebih banyak pelancong luar datang ke negara ini.

Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Saraya Arbi berkata, pemerkasaan eko pelancongan di Malaysia adalah sejajar dengan 17 Matlamat Pembangunan Lestari (SDG17), yang mana kerajaan akan memastikan negara ini perlu mengekalkan kesuburan pohon-pohon dan hutan bagi daya tarikan pelancong pada masa akan datang.

Katanya, menerusi Pelan Ekopelancongan Kebangsaan (NEP 2016-2025) dan Dasar Pelancongan Negara 2021-2030, kerajaan telah mengenal pasti kawasan-kawasan di negara yang menjadi pecahan kluster ekopelancongan, sekali gus menjadi agenda utama dalam pembangunan infrastruktur pelancongan negara.

“Jajaran dan kawasan yang berpotensi akan diketengahkan sebagai lokasi ekopelancongan di mana ia merupakan produk pelancongan yang menawarkan keindahan alam semulajadi dan menarik para pelancong menikmati kawasan-kawasan eko di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Projek Pembangunan Ekotourism Paya Lebar diadakan di Jeti Nelayan Paya Lebar, di sini, hari ini.

Terdahulu program itu turut menyaksikan sesi pertukaran dan penyerahan sijil di antara Saraya dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), Tpr. Saifuddin Abdul Karim melaksanakan sesi menandatangani sijil selepas program terbabit.

Sesi tersebut turut disaksikan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Limau, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer dan Timbalan Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri (Pembangunan), Badaruddin Mohd Kassim.

Dalam pada itu, Saraya berkata, Ecotourism Paya Lebar fasa pertama yang telah siap itu merupakan projek sulung di Melaka di Melaka pihaknya telah mengenal pasti tiga lagi kluster ekopelancongan di negeri ini akan diberi tumpuan kerajaan pada masa akan datang.

“Bagi kluster kawasan pertama di Melaka ialah di Melaka Urban Ecotourism Cluster di Melaka Historical City, Ayer Keroh diikuti kawasan kluster kedua iaitu di Tanjung Kling-Pengkalan Balak-Kuala Linggi-Tanjung Tuan dan bagi kluster kawasan ketiga ialah Jasin-Selandar-Tebong-Asahan.

“Bagi kawasan Paya Lebar yang telah dibangunkan ini ia berada pada kluster kedua di Melaka dan kawasan ini dipenhi dengan kekayaan flora dan fauna seperti paya bakau, udang galah, lokan dan buaya yang menjadi tarikan utama.

“Sesungguhnya Negeri Melaka merupakan negeri yang amat beruntung kerana kerajaan Kerajaan Persekutuan terutamanya melalui MOTAC amat prihatin dan sentiasa mengutamakan pembangunan produk-produk pelancongan di negeri kerana Melaka merupakan negeri yang tidak putus menerima kedatangan para pelancong mahupun domestik dan luar negara berikutan keunikannya dan nilai sejarah yang tinggi,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1541
Kongsi :
Previous post SWM Kasih Misi Sampul Merah, ceriakan anak autisme
Next post Bunga api RM2 juta warnai langit Selat Melaka
Ubah saiz-+=