Produk sanitasi perlu tepati kriteria KKM

Masa Membaca:1 Minit, 40 Saat

AYER KEROH 19 Nov. – Penggunaan cecair pembasmi kuman yang bersesuaian dan menepati kriteria yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) penting dalam penggayaan norma baharu bagi mencegah penularan pandemik COVID-19.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bioteknologi Melaka, Tee Mei Gee berkata, pengguna perlu memastikan kandungan penggunaan bahan aktif pembunuh kuman seperti alkohol perlulah memenuhi kuantiti yang dibenarkan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Jelasnya, penggunaan kandungan alkohol di dalam cecair berkenaan perlulah melebihi 70 peratus malah ia turut boleh digantikan dengan bahan aktif yang lain seperti klorida perak atau pelbagai lagi bagi membunuh kuman.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bioteknologi Melaka, Tee Mei Gee. (Foto MR Azli)

“Sebelum ini ramai yang memandang ringan terhadap penggunaan cecair pembasmi kuman di dalam kehidupan seharian bagaimanapun kesedaran ini telah dipertingkatkan selepas penularan pandemik terbabit bagi memastikan kesihatan orang ramai terjamin.

“Penggunaan cecair yang betul amat penting untuk tujuan sanitasi malah pelbagai reka bentuk telah digunakan pelbagai produk di luar bagi memastikan ia mudah dibawa.

“Bagi memastikan pengguna terjamin dengan penggunaan cecair terbabit, mereka perlu melihat Nombor Notifikasi (NOT) yang tertera pada label produk tersebut.

“Selepas itu, mereka boleh memasukkan nombor terbabit dengan menjejaki sama ada produk terbabit diiktiraf menerusi laman web KKM.

“Perkara ini amat penting bagi memastikan produk berkenaan selamat dan berdaftar bagi menjamin keselamatan pengguna,”katanya.

Makmal penyelidikan Perbadanan Bioteknologi Melaka di Ayer Keroh. (Foto MR Azli)

Pada masa sama menurutnya, bagi memastikan kesedaran pengguna terhadap penggunaan cecair pembasmi kuman pihaknya turut mengambil inisiatif terbabit bagi menghasilkan cecair berkenaan agar menjamin keselamatan pengguna dan terhindar dari pandemik COVID-19.

Katanya, inisiatif yang diambil menerusi perkhidmatan makmal yang telah disediakan pihaknya komited bagi memasarkan produk terbabit buat kakitangan awam termasuk masyarakat dalam negeri ini.

“Kami telah membekalkan produk sanitasi bagi kegunaan orang ramai khususnya di Melaka dengan pelbagai bahan kandungan bagi memastikan kelembapan pada kulit.

“Keutamaan kami dalam menghasilkan produk menerusi kajian terperinci telah dihasilkan dan ia bersesuaian dengan semua peringkat umur,”katanya.

Views:

827
Kongsi :
Previous post Selesaikan segera atau henti operasi
Next post Jawatankuasa khas tangani ancaman babi hutan dan kera
Ubah saiz-+=