Produk warisan Melaka kini dijual dalam Shopee

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

AYER KEROH 22 Mac – Seiring dengan kemajuan teknologi, Institut Warisan Melaka (INSWA) mengorak langkah apabila mula memasarkan produk berteraskan warisan Melaka secara dalam talian menggunakan platform digital e-dagang.

Peminat seni dan orang ramai kini berpeluang membeli segala produk berteraskan warisan seperti songket tenun bunga kesidang, buku-buku terbitan INSWA serta pelbagai jenis cenderamata berteraskan warisan menerusi platform Shopee.

Turut dijual adalah busana tradisional Melayu serta pelbagai etnik lainnya, keris dan senjata tradisional, setanjak, pelbagai aksesori pakaian tradisi, kraftangan warisan negeri Melaka serta pelbagai barangan lain

Pengurus Besar INSWA, Nurman Mohd Baroldin berkata, lebih menarik, makanan warisan Melaka, ‘Kuih Bakau’, juga menjadi antara produk terbaharu dan popular dari INSWA yang mana ia boleh didapati dalam pelbagai pakej menarik secara dalam talian.

“Inisiatif itu diambil bagi memudahkan orang ramai mendapatkan produk warisan dengan mudah apatah lagi ketika negara sedang berdepan dengan pandemik COVID-19 yang mengehadkan segala urusan.

“Jualan menerusi laman Shopee ini membuktikan komitmen INSWA bagi memudahkan orang ramai mendapatkan produk warisan dengan mudah dan berkesan, selain memudahkan pengguna memilih produk yang bersesuaian,” katanya.

Menerusi usaha itu katanya, orang ramai hanya perlu mengekan sahaja butang pilih di telefon pintar sebelum barangan warisan yang dihajati sampai di hadapan pintu rumah mereka.

Menurutnya, INSWA kini mempunyai pelbagai produk warisan dengan kualiti tinggi apabila menjadi pusat sehenti bagi memasarkan produk warisan yang dihasilkan oleh pengusaha terutamanya dari Melaka.

Tambahnya, terdapat beratus barangan berteraskan warisan yang sukar ditemui di pasaran kini boleh didapati dengan mudah menerusi laman jual beli dalam talian.

“Selain Shopee, INSWA juga sedang mengadakan kerjasama dengan Tourism Melaka bagi memasarkan barangan menerusi LAZADA malahan semua barangan berteraskan warisan juga boleh didapati menerusi laman web INSWA yang terkini,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1469
Kongsi :
Previous post Datuk seri didakwa cabul, aib kehormatan anak perempuan
Next post Aplikasi ‘Melaka Pay’ sedia 18 perkhidmatan bayaran
Ubah saiz-+=