Aplikasi ‘Melaka Pay’ sedia 18 perkhidmatan bayaran

Masa Membaca:1 Minit, 52 Saat

SERI NEGERI 22 Mac – Kerajaan negeri membangunkan gerbang pembayaran bersepadu menerusi ‘Melaka Pay One-Stop Centre’ atau dikenali ‘Melaka Pay’ yang mula beroperasi 1 April depan.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, aplikasi itu dibangunkan menerusi Bahagian Teknologi Maklumat dan Komunikasi (BTMK) Jabatan Ketua Menteri untuk semakan dan pembayaran pelbagai perkhidmatan yang ditawarkan.

“Aplikasi Melaka Pay boleh dimuat turun secara percuma menerusi Google Play Store bagi pengguna android dan menerusi App Store bagi pengguna Apple App Store bermula 1 April ini.

“Pelbagai perkhidmatan ditawarkan oleh agensi-agensi kerajaan negeri melalui aplikasi ini antaranya perkhidmatan cukai tanah, kompaun dan caj warisan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Melaka Pay Mobile Apps Gerbang Pembayaran Bersepadu Negeri Melaka di Seri Negeri, hari ini. Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr Hasim Hasan.

Mengulas lanjut Sulaiman berkata, Melaka Pay dilaksanakan menerusi empat langkah mudah iaitu daftar, login, semak dan bayar bil.

“Mod pembayaran secara dalam talian (online) menerusi perbankan Internet menggunakan Financial Process Exchange (FPX).

“Setiap transaksi yang berjaya akan dikenakan caj perkhidmatan bank sebanyak 50 sen bagi individu dan RM1 bagi syarikat mengikut ketetapan agensi terlibat,” katanya.

Katanya, sebanyak lapan agensi kerajaan negeri yang menawarkan perkhidmatan menerusi aplikasi itu.

“Fasa 1 sebanyak 18 perkhidmatan melibatkan lapan agensi dan enam jenis perkhidmatan ditawarkan di terdiri daripada Pejabat Tanah dan Galian Melaka (PTG), Pejabat Daerah dan Tanah Melaka Tengah (PDTMT), PDT Jasin dan PDT Alor Gajah bagi perkhidmatan cukai tanah dan cukai petak.

“Manakala Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) dan Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) bagi perkhidmatan cukai taksiran, kompaun dan caj warisan,” katanya.

Tambah Sulaiman, turut disediakan adalah perkhidmatan bayaran balik pinjaman pendidikan Tabung Amanah Pendidikan Melaka (TAPEM).

Fasa kedua pula katanya melibatkan Pusat Zakat Melaka bagi bayaran zakat fitrah dan zakat pendapatan, Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) bagi wakaf dan fidyah serta empat pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi sewa gerai.

“Kerajaan negeri akan terus memaklumkan perluasan Melaka Pay dari semasa ke semasa melalui hebahan Portal e-Bayar (https://ebayar.melaka.gov.my), portal rasmi kerajaan negeri (https://www.melaka.gov.my), platform media sosial kerajaan negeri dan agensi-agensi yang terlibat, ” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2031
Kongsi :
Previous post Produk warisan Melaka kini dijual dalam Shopee
Next post DPN 2020-2030 ke Zon Timur selepas Melaka
Ubah saiz-+=