DPN 2020-2030 ke Zon Timur selepas Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 51 Saat

AYER KEROH 22 Mac – Sesi Jerayawara Dasar Pelancongan Negara (DPN) 2020-2030 ketiga akan diteruskan ke Zon Timur selepas Melaka.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), Datuk Seri Nancy Shukri memberitahu perkara itu dalam ucapan perasmian sesi bersama kerajaan negeri di Hotel MITC di Pusat Dagangan Antarabangsa (MITC) sebentar tadi yang juga sesi kedua selepas diadakan di Sarawak pada 16 Februari lalu.

Menurut Nancy, sesi kali ini berbeza kerana disertai tiga negeri di Zon Selatan iaitu Melaka, Negeri Sembilan dan Johor yang diadakan secara hibrid iaitu fizikal dan dalam talian.

“Insya-Allah sesi seterusnya akan diadakan bagi Zon Timur dalam usaha melibatkan semua pihak berkepentingan daripada kerajaan persekutuan hingga kerajaan negeri dan pemain industri di seluruh negara.

“Sesi libat urus bersama negeri-negeri adalah sangat penting demi memastikan semua pihak berkepentingan sekata, mempunyai visi agenda transformasi yang sama dan seterusnya menerapkan strategi-strategi DPN ke dalam rancangan tindakan masing-masing,” katanya.

Majlis gilang-gemilang itu diserikan dengan persembahan kebudayaan daripada Jabatan Kesenian Negeri Melaka.

Sementara itu Nancy berkata, dalam melaksanakan strategi DPN, MOTAC menyambut baik inisiatif diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA).

Beliau berkata antaranya Geran Bantuan Khas kepada agensi pelancongan, Pengecualian Cukai Pelancongan dan Cukai Perkhidmatan serta Bantuan Tunai kepada pengusaha homestay yang berdaftar dengan MOTAC yang memberikan nafas baru kepada sebahagian pemain industri pelancongan.

“Inisiatif ini akan merancakkan lagi sektor pelancongan dan membantu menjana ekonomi negara.

“Insya-Allah, kita sama-sama berusaha dan berdoa agar sektor pelancongan negara pulih dengan segera,” katanya.

Esok Nancy akan meneruskan jadual lawatan ke lokasi produk pelancongan di sekitar Bandar Hilir bagi menerokai dan merasai kepelbagaian rasa dan keenakan makanan tempatan dan juga lokasi bersejarah serta produk kraf.

Ia termasuk  lawatan ke Muzium Sejarah dan Ethnografi, Bangunan Stadhuys, Galeri Warisan Kota Melaka, Muzium Senibina Malaysia, Kota A Famosa, Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan serta Muzium Wangkang.

Beliau seterusnya dijadual menyampaikan sijil kepada peserta Bengkel Kraf Rotan di Bukit
Piatu Melaka, sesi ramah mesra bersama komuniti dan usahawan kraf di Homestay Alai
sebelum berakhir di Mahkota Parade bagi pelancaran media Kempen ‘Shop
and Be Rewarded’ yang turut dihadiri oleh Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

743
Kongsi :
Previous post Aplikasi ‘Melaka Pay’ sedia 18 perkhidmatan bayaran
Next post Lateks tingkat pendapatan penoreh dan pekebun kecil getah
Ubah saiz-+=