Program dan aktiviti pengajian di masjid dan surau ditangguhkan empat hari

Masa Membaca:1 Minit, 10 Saat

AYER KEROH 4 Jan – Semua program dan aktiviti kelas pengajian di masjid dan surau di negeri ditangguhkan berkuatkuasa hari ini sehingga Jumaat ini.

Ketua Penolong Pengarah (Pengurusan Masjid) Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Mohammad Azli Ab Rahman menerusi kenyataan rasmi dikeluarkan pejabat itu berkata, perkara itu diputuskan dalam Jawatankuasa Khas COVID-19 berdasarkan situasi terkini negeri ini yang masih tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan termasuk aktiviti di masjid dan di surau.

Menurutnya, keputusan yang diputuskan kerajaan negeri itu turut mengambil kira langkah pencegahan dan penyebaran wabak itu.

“Aktiviti yang ditangguhkan meliputi ceramah, forum, kursus, kelas takmir, kelas pengajian selepas maghrib, kuliah subuh, kuliah dhuha, qiamullail, kelas pengajian Al-Quran, program khas dan seumpamanya.

“Oleh itu, sebarang kebenaran program yang telah dikeluarkan sebelum ini adalah terbatal,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohammad Azli berkata, aktiviti yang dibenarkan di masjid dan surau di negeri hanya membabitkan beberapa perkara sahaja.

“Antaranya adalah solat fardhu lima waktu berjemaah; solat Jumaat, pengurusan dan solat jenazah, majlis pernikahan mengikut SOP ditetapkan dan singgah solat bagi musafir.

“Bagi majlis bacaan Yaasin dan tahlil selepas Maghrib pada 7 Januari adalah dibenarkan dengan kehadiran anak kariah sahaja,” katanya.

Beliau berkata, bagi pelaksanaan aktiviti yang dibenarkan, jawatankausa masjid dan surau perlu memastikan semua jemaah mengikut semua SOP Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Jelasnya, seluruh jawatankuasa terlibat di negeri ini diharapkan dapat mematuhi arahan bagi membendung penularan jangkitan COVID-19 di masjid dan surau.

Views:

1981
Kongsi :
Previous post Pelajar maut tercampak tujuh meter
Next post Rumah Seram Melaka sasar 300,000 pengunjung
Ubah saiz-+=