Rumah Seram Melaka sasar 300,000 pengunjung

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

SERI NEGERI 4 Jan. – Rumah Seram Melaka yang akan menjadi tarikan terbaharu Melaka bermula Mei tahun ini dijangka mampu menarik kehadiran 300,000 pengunjung.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali berkata, projek yang dijangka siap sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri itu bakal menyajikan pengunjung dengan pelbagai genre seram dan misteri bertitik tolak daripada cerita-cerita seram masyarakat serta peristiwa hitam yang pernah berlaku di Melaka.

Selain itu, jelasnya, selain menampilkan elemen seram, ia juga bakal membawa pengunjung menimba ilmu pengetahuan melalui pengisian cerita-cerita sejarah seperti Lagenda Hang Tuah Lima Bersaudara dan juga Hikayat Puteri Hang Li Po dalam bentuk yang lebih interaktif.

SULAIMAN menerima cenderamata daripada pihak syarikat RBA Risk Advisors Sdn Bhd.

“Kenapa kita tampilkan elemen seram? Sebabnya, kita tiada lagi elemen seram itu di negeri ini. Jadi, kita mahu menampilkan kepelbagaian dalam tarikan pelancongan di negeri ini.

“Jadi, kita percaya dengan tarikan pelancongan baharu ini kita dijangka boleh menarik kehadiran 300,000 pengunjung untuk hadir dan merasai pengalaman mereka di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir menyaksikan majlis menandatangani kontrak pembangunan Rumah Hantu Melaka di antara Menara Taming Sari Berhad dengan RBA Risk Advisors Sdn Bhd, di Bilik Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri di Seri Negeri, di sini, hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Dr Hasim Hasan; Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri Datuk Muhammad Jailani Khamis; Pengarah MOTAC Melaka Yeow Chin Chai dan Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan Sa’ari Basiron.

Dalam pada itu, Sulaiman berkata, bagi merancakkan promosi Rumah Seram Melaka, pelbagai bentuk hebahan akan diadakan termasuklah seperti konsert mini, roadshow, wall projection dan maskot akan digerakkan.

Untuk rekod, Rumah Seram Melaka merupakan satu nilai pelaburan berjumlah RM21 juta yang akan dibangunkan pihak swasta bersama anak syarikat kerajaan negeri di kawasan perkarangan Menara Taming Sari dan dijangka dibuka pada Mei tahun ini.

Views:

1602
Kongsi :
Previous post Program dan aktiviti pengajian di masjid dan surau ditangguhkan empat hari
Next post Empat individu termasuk pengarah dua syarikat import daging beku direman
Ubah saiz-+=