Program Jualan #Keluarga Malaysia bermula Sabtu ini – PM

Masa Membaca:1 Minit, 52 Saat

KUALA LUMPUR, 2 Dis – Kerajaan akan menganjurkan program Jualan #Keluarga Malaysia di semua 222 kawasan Parlimen secara serentak bermula Sabtu ini sebagai antara usaha meringankan beban rakyat susulan kenaikan harga barang ketika ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pada peringkat permulaan, program itu yang menawarkan barangan keperluan harian pada harga murah antara 20 dan 50 peratus disasar diadakan dua kali setiap bulan memfokuskan kepada kawasan ramai penduduk daripada golongan B40 dan M40.

“Pada peringkat permulaan, dua kawasan di setiap (kawasan) Parlimen dengan awalnya yang ramai B40 dan M40 kerana golongan itu adalah yang terkesan teruk terutama selepas penularan COVID-19,” katanya pada sidang media selepas melancarkan program Jualan #Keluarga Malaysia di Dataran Perpustakaan Lembah Pantai di sini hari ini.

Program sehari itu merupakan usaha pelbagai pihak antaranya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP); Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) selain syarikat swasta.

Menurut perdana menteri, penganjuran program Jualan #Keluarga Malaysia itu disasar diadakan sehingga Februari depan, bergantung kepada situasi semasa harga barangan.

Ismail Sabri berkata usaha kerajaan melalui beberapa kementerian bertanggungjawab mengimport bekalan seperti sayur dapat memastikan ia mencukupi di pasaran seterusnya menurunkan harga jualan.

“Kalau harga barang jatuh sebelum Februari, jualan murah (Jualan #Keluarga Malaysia) ini tidak diteruskan, tapi kalau harga tidak turun jualan akan diteruskan… yang penting kerajaan sedar apa dialami rakyat dan tidak akan biarkan rakyat tanggung sendiri,” katanya.

Mengenai program hari ini, Ismail Sabri berterima kasih kepada 25 pemain industri runcit yang menjual pelbagai barangan keperluan harian pada harga murah seterusnya membantu kerajaan mengurangkan beban rakyat.

Sementara itu, perdana menteri berkata Majlis Tindakan Sara Hidup Negara akan bermesyuarat bagi membincangkan punca kenaikan harga barangan ketika ini selain menentukan intervensi jangka pendek dan jangka panjang.

Beliau berkata selain KPDNHEP, turut dilibatkan dalam mesyuarat itu ialah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Kementerian Pengangkutan.

“Pengangkutan sering juga dikatakan punca kenaikan harga barang, misalnya alasan tukar tayar. Bukan tiap bulan tukar tayar, tak kan nak dijadikan isu sebab itu kita panggil juga Kementerian Pengangkutan,” katanya.

Perdana menteri juga menegaskan bahawa tiada sebarang kompromi dalam bentuk tindakan terhadap mana-mana peniaga yang tidak beretika dengan menaikkan harga barangan tanpa sebab munasabah ketika orang ramai dalam kesusahan. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

744
Kongsi :
Previous post Enam pelajar MRSM Sultan Azlan Shah positif COVID-19
Next post Ular rusuk kerbau masuk enjin jengkaut
Ubah saiz-+=