Ular rusuk kerbau masuk enjin jengkaut

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

TABOH NANING 2 Dis – Seorang pemandu jengkaut yang sedang asyik melakukan kerja-kerja meratakan tanah dikejutkan dengan kehadiran seekor ular rusuk kerbau sepanjang 1.5 meter di Kampung Cerana Putih, semalam.

Dalam kejadian pukul 9.45 pagi itu, pemandu jengkaut terbabit sedang melakukan kerja-kerja pembersihan di kawasan paya lama di situ tanpa mengetahui kehadiran ular tersebut.

Jurucakap Pejabat Daerah Pertahanan Awam (PDPA) Alor Gajah berkata, ular tersebut yang berada pada bahagian pengorek jentera itu kemudiannya menyusur masuk ke dalam enjin jengkaut yang masih terpasang ketika itu.

“Melihatkan ular tersebut telah memasuki enjin, pemandu terbabit kemudiannya mematikan enjin dan menghubungi talian kecemasan Pertahanan Awam.

“Seramai empat anggota dikejarkan ke lokasi kejadian dan berjaya menangkap ular tersebut dalam masa kira-kira 30 minit,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini (MHI).

SEEKOR ular rusuk kerbau berjaya ditangkap oleh anggota Pertahahan Awam setelah menyusur masuk ke dalam enjin jengkaut di Kampung Cerana Putih, Alor Gajah semalam.

Menurut jurucakap tersebut, pihaknya tidak menghadapi sebarang halangan untuk membawa reptilia itu keluar daripada enjin jengkaut terbabit.

“Alhamdulilah, kita tidak mengambil masa untuk membawanya keluar dari enjin jentera terbabit tanpa menghadapi sebarang masalah atau halangan.

“Kita percaya kawasan paya di situ merupakan habitat asal ular tersebut dan kita sudah lepaskan ular berkenaan ke kawasan lain yang jauh dari penempatan penduduk,” katanya.

Ular rusuk kerbau dikatakan tidak berbisa namun boleh menggigit dan sekiranya menariknya dari anggota badan, ia menyebabkan koyakan tisu. Ular ini juga mempunyai fizikal seakan tedung selar dan hanya memakan tikus selain mempunyai pergerakan pantas serta mampu melonjakkan fizikal sebagai ancaman kepada musuh.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

6260
Kongsi :
Previous post Program Jualan #Keluarga Malaysia bermula Sabtu ini – PM
Next post Tanah runtuh: Mayat pemandu lori, MPV ditemukan
Ubah saiz-+=