Program sekolah angkat INSWA, memartabatkan seni warisan dondang sayang

Masa Membaca:2 Minit, 2 Saat

TELOK MAS 15 Sept – Program sekolah angkat Institut Warisan Melaka (INSWA) memberi impak positif dalam usaha untuk melestarikan pembangunan seni warisan dondang sayang ke seluruh dunia.

Pengurus Besar INSWA, Nurman Mohd Baroldin berkata, menerusi program berkenaan, sebanyak 13 sekolah terdiri daripada sekolah menengah dan sekolah rendah dipilih untuk dijadikan anak angkat INSWA.

Katanya, ia bagi memastikan pelbagai program diatur berkaitan kesenian dan kebudayaan dalam kalangan pelajar sekolah selain mencungkil bakat baharu dalam seni Dondang Sayang.

NURMAN.

“Di INSWA, kita memang sentiasa melakukan pelbagai usaha untuk menghidupkan kembali dondang sayang dengan mencungkil bakat dalam kalangan generasi baharu.

“Kita ada 13 sekolah angkat di seluruh negeri yang mana kita cungkil bakat baru sama ada di sekolah rendah mahupun sekolah menengah.

“Bermula di situ, apabila kita lihat potensi dan sinar dalam seni itu kita akan asah supaya kita ada pelapis,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini (MHI) selepas menyaksikan persembahan Dondang Sayang oleh Pasukan Homestay Dondang Sayang, Baruh Alai.

Hadir sama, Penasihat Persatuan Dondang Sayang Melaka, Datuk Akramuddin Abd Aziz dan Pengurus Besar PERZIM, Drs Mohd Nasaruddin Rahman.

Menurutnya, meskipun kepelbagaian genre menembusi pasaran muzik pada masa kini, namun beliau percaya Dondang Sayang mampu diingati selamanya kerana keaslian pada bait seni kata membawakan mesej berunsurkan nasihat kepada pendengarnya.

“Jika kita lihat keunikan masyarakat kita, menerusi seni muzik, ia dapat menyatu-padukan masyarakat.

“Maksudnya melalui hiburan Dondang Sayang, ia merangkumi pantun dan alunan muziknya, jadi di situlah warisan kita hidup.

“Seharusnya generasi muda kita memperkaya dan mempopularkan Dondang Sayang supaya ia dekat dengan masyarakat,” katanya.

SITI NURSYAHIRAH

Sementara itu, penyanyi genit Dondang Sayang, Siti Nursyahirah Mohd Syaiful Hasry, 12, berkata dia berkecimpung menyanyi lagu Dondang Sayang sejak berusia 10 tahun.

“Memandangkan keluarga lahir daripada keluarga seni iaitu makcik saudara sendiri, Datuk Seri Siti Nurhaliza (Tarudin) membuatkan saya mahu menjadi sepertinya yang mampu membawakan pelbagai lagu genre tradisional,” katanya.

AINUL DANISH.

Bagi Ainul Danish Salahuddin, 14, dia pada mulanya tidak gemar untuk menyanyi lagu Dondang Sayang kerana sukar untuk menyanyikannya dalam intonasi tinggi, namun lama-kelamaan menerusi latihan intensif, dia semakin meminati muzik tradisional itu.

“Malah ayah saya sendiri memberi sokongan dengan membawa saya masuk ke kelas vokal untuk mendalami seni Dondang Sayang,” katanya yang mula menyanyikan lagu tradisional itu sejak usianya 11 tahun.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1346
Kongsi :
Previous post 15,000 anggota APM sedia diatur gerak bantu operasi bencana seluruh negara
Next post Zainuddin Abdul Wahab kini Ketua Pengarah Tourism Malaysia
Ubah saiz-+=