Projek muara Sungai Baru diteruskan walaupun harga bongkah batu naik mendadak

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

KUALA LINGGI 6 April – Kerja pemuliharaan muara Sungai Baru, di sini tidak terjejas meskipun harga bongkah batu atau ‘armour rock’ iaitu bahan pembinaan utama bagi projek itu naik mendadak.

Sebaliknya, projek bernilai RM10.392 juta itu tetap diteruskan bagi memastikan ia disiapkan awal tahun hadapan, sekali gus memudahkan nelayan keluar dan masuk ke pangkalan masing-masing.

Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Melaka, Abdul Hakim Hamzah berkata, kontraktor utama projek berkenaan mendakwa harga armour rock naik mendadak sejak beberapa bulan lalu.

“Kemajuan projek setakat ini ialah 48 peratus melebihi jangkaan 44 peratus sebelum ini. Selain membina ‘dinding penahan’ sepanjang 200 meter projek itu turut membabitkan kerja mendalamkan muara sungai.

“Kontraktor mendakwa berlaku mendapan tanah yang ketara ketika kerja membina dinding penahan di muara. Hujan lebat sejak beberapa hari lalu juga mengganggu kerja pembinaan dinding berkenaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

KERJA pemuliharaan muara Sungai Baru, Masjid Tanah sedang giat dijalankan.

Menurutnya projek berkenaan dimulakan Feb lalu selepas Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) meluluskan peruntukan bagi memulihara muara Sungai Baru yang mengalami mendapan serius sejak 10 tahun lalu.

Sementara itu, Abdul Rahim Talib, 59, berkata dia dan 200 lagi nelayan tempatan berasa amat gembira dengan perkembangan semasa projek berkenaan.

“Sebelum ini jika nak keluar ke laut kami kena pastian air sudah pasang, bila nak pulang pula kami kena tiba di jeti sebelum air timpas atau terlalu surut,” katanya.

Abdul Rahim berkata, nelayan menggunakan bot bersaiz besar juga berdepan masalah lebih rumit setiap kali mahu merapat ke jeti berikutan mendapat lumpur di muara.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1838
Kongsi :
Previous post Polis buru lelaki cabul wanita di Cyberjaya
Next post Sijil halal keutamaan Hotel Ames
Ubah saiz-+=