Projek pembangunan bernilai RM10 juta akan dibangunkan di Klebang

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

AYER KEROH 5 Mei – Projek pembangunan dengan nilai pelaburan RM10 juta dijangka bakal dibangunkan di kawasan rizab pantai seluas 2.9 ekar (1.17 hektar) di Klebang dalam tempoh 15 tahun.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, pelbagai pembangunan dirancang di kawasan tanah rizab itu antaranya termasuk membina pejabat jualan dan ruang pameran; kedai makanan dan minuman; tandas awam serta landskap.

Katanya, projek pembangunan turut melibatkan kerja-kerja pembinaan jalan masuk bagi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk kerja pembersihan Sungai Seri Melaka serta kegunaan orang awam.

SULAIMAN (tiga dari kiri) menunjukkan dokumen perjanjian pajakan dan pembangunan antara kerajaan negeri Melaka dan Syarikat Greenwood Riverside Sdn Bhd di Bilik Mesyuarat Tun Perak, Kompleks Seri Negeri.

“Syarikat Greenwood Riverside Sdn Bhd akan memajak kawasan seluas 2.9 ekar itu selama 15 tahun dan diberi pilihan pertama untuk dipanjangkan selama 21 tahun berdasarkan terma-terma yang akan dibincangkan pada masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas menandatangani perjanjian pajakan dan pembangunan antara kerajaan negeri Melaka dan Syarikat Greenwood Riverside Sdn Bhd bagi kawasan seluas 2.9 ekar di Klebang di Bilik Mesyuarat Tun Perak, Kompleks Seri Negeri di sini, hari ini.

Beliau berkata, projek pembangunan itu selari dengan hasrat kerajaan negeri dalam mencapai Melaka Key Result Area (MKRA) yang ke-2 di bawah Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya 2035 (PSMJ 2035) iaitu Kelestarian Pembangunan dan Kesejahteraan Rakyat.

“Kerajaan negeri komited untuk mempertingkatkan taraf hidup rakyat selari dengan hasrat untuk menjadikan negeri ini sebagai sebuah Negeri Lestari yang mampu menggamit dunia.

“Apa yang penting, saya mahukan semua projek ini dapat mengikut segala terma dan syarat yang ditetapkan setelah termeterainya perjanjian ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

850
Kongsi :
Previous post Program kerajaan negeri berskala besar tangguh atau batal- Sulaiman
Next post PKPD di Kampung Permatang Tulang, Sebatu, selama 14 hari bermula Jumaat ini – Ismail Sabri
Ubah saiz-+=