Projek pintasan paip air dari Kampung Kelubi mampu atasi kekurangan air di Kampung Seri Kesang

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

AYER KEROH 28 Jan – Projek pemasangan paip dari simpang Kampung Kelubi ke simpang Kampung Seri Kesang, Jasin, dekat sini, kini giat dijalankan dan dijangka siap akhir bulan ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB), Abd Rashid Ab Rahman berkata, apabila siap projek itu diyakini dapat menyelesaikan masalah kekurangan bekalan air dialami penduduk kampung berkenaan.

Beliau berkata, kedudukan lokasi kampung yang terletak di kawasan tinggi dan agak jauh dari Loji Air Bertam menjadi punca penduduk Kampung Seri Kesang tidak mendapat bekalan air mencukupi.

Katanya, berikutan itu SAMB mengambil inisiatif jangka pendek memasang paip yang dipintaskan dari Kampung Kelubi ke kampung berkenaan sejak akhir November lalu supaya bekalan air dapat disalurkan secara terus kepada penduduk kampung.

“SAMB sudah mendapatkan kelulusan khas untuk melaksanakan projek berkenaan dan kerja-kerja pemasangan paip sedang dijalankan.

“Ia dijangka siap selewat-lewatnya akhir bulan ini dan kita akan lihat keberkesanan paip berkenaan untuk menyalurkan air kepada penduduk.

“Kita jangkakan penutupan air secara berjadual di kawasan sekitar akan dilaksanakan bagi menyiapkan projek berkenaan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

 

[smartslider3 slider=9]

 

Dalam pada itu, Abd Rashid turut memaklumkan pihaknya dalam proses pelaksanaan pelan jangka panjang bagi meningkatkan kapasiti Loji Rawatan Air Chin Chin kepada 30 juta liter sehari (MLD).

“Kita jangkakan projek berkenaan siap sepenuhnya pada Jun ini yang mampu menampung bekalan air sehingga ke Kampung Kemendor dan Kampung Seri Kesang,” katanya.

Sebelum ini, Melaka Hari Ini (MHI) melaporkan keluhan penduduk kampung itu mengenai kekurangan bekalan air sejak lebih 15 tahun lalu.

Penduduk mendakwa masalah gangguan bekalan air berlaku atas pelbagai sebab termasuk sistem paip agihan tidak sistematik, kekurangan pam dan  tangki air yang uzur.

Projek pemasangan paip bagi memintas sumber bekalan air dari Kelubi ke Kampung Seri Kesang.

Views:

1174
Kongsi :
Previous post ITP tawar kursus usahawan atas talian percuma
Next post Pakar motivasi, Azizan Osman cerita pengalaman hampir maut akibat COVID-19
Ubah saiz-+=