Promosi keunikan Melaka di Kota London
AYER KEROH 7 November – Mempromosikan kepelbagaian budaya dan keunikan sejarah Negeri Melaka antara tugas besar Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh pada World Travel Market (WTM) London 2023, United Kingdom (UK).
Ab Rauf yang mengetuai delegasi Kerajaan Negeri berkata, penyertaan pada WTM London 2023 turut dimanfaatkan untuk mempromosikan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) berbaki kurang dua bulan sahaja lagi.
Kesempatan yang ada juga digunakan untuk mempromosikan Hari Pelancongan Dunia 2025 (WTD2025) yang mana Melaka dipilih sebagai hos bagi penganjuran akan datang.
Jelas beliau, rakyat Melaka perlu bangga kerana menjadi sebuah negeri yang kaya dengan nilai sejarah seni dan budaya, berikutan itu apa yang dimiliki perlu dikongsi bersama masyarakat dunia bersempena TMM2024.
“Melaka mempunyai sejarah tidak terhingga nilainya yang dipengaruhi oleh pelbagai kuasa penjajah seperti Portugis, Belanda dan British.
“Sesuai dengan status sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO, keunikan Melaka menyerlah dengan kemeriahan pasar malam, muzium warisan, keenakan masakan, pemandangan seni serta kilauan beca yang ikonik.
“Saya turut kongsikan kepada tetamu di WTM 2023 mengenai pemilihan Negeri Melaka sebagai tuan rumah WTD2025, seperti yang diumumkan ketika Perhimpunan Agung Pertubuhan Pelancongan Dunia (UNWTO) ke-25 di Samarkand, Uzbekistan, baru-baru ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook rasminya.
Terdahulu Ab Rauf menyaksikan pelancaran promosi TMM2024 di WTM London 2023 yang disempurnakan Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk RoslanAbdul Rahman.
Hadir sama menyaksikan pelancaran itu Duta Besar Malaysia di UK dan Ireland Utara, Datuk Zakri Jaafar; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh dan Penasihat Undang-Undang Negeri Melaka, Datuk Abdul Aziz Engan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.