Sorting by

×

PRU15: KKM kemuka dua syor bolehkan pesakit COVID-19 mengundi

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

PUTRAJAYA, 29 Okt – Kementerian Kesihatan (KKM) telah mengemukakan dua syor untuk dipertimbangkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), bagi membolehkan individu positif COVID-19 mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Keputusan SOP (prosedur operasi standard) bagi individu positif COVID-19 mengundi, Isnin nanti,” kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah kepada pemberita, selepas acara Putrajaya Pink October Fun Walk 2022, di sini hari ini.

Syor pertama, katanya adalah menyediakan satu laluan dan bilik mengundi khas untuk individu positif COVID-19.

“Satu lagi opsyen adalah pesakit COVID-19 datang ke khemah KKM, kita pastikan mereka ada pelindung dan sebagainya, barulah kita bawa pesakit tersebut ke tempat mengundi. Tak perlu beratur dan sebagainya,” katanya.

Dr Noor Hisham sebelum ini dilaporkan berkata individu yang positif COVID-19 namun tidak kritikal, akan dibenarkan mengundi pada PRU15, dengan mematuhi SOP ketat yang akan diumumkan SPR kelak.

SPR menetapkan 19 Nov sebagai hari pengundian bagi PRU15 manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 5 dan 15 Nov depan.

Mengenai kanser payudara, beliau berkata KKM menetapkan sasaran pengesanan peringkat awal tahap satu dan dua kepada lebih 75 peratus, berbanding 50 peratus ketika ini.

Di negara-negara maju, katanya saringan kanser payudara tahap satu lebih 95 peratus.

Untuk itu, Dr Noor Hisham berkata kempen mengenai pengesanan awal kanser payudara akan terus dipergiatkan, bagi memberi kesedaran kepada wanita terutamanya yang berusia 50 tahun ke atas dan mereka yang berisiko tinggi. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1658
Kongsi :
Previous post Melaka jadi negeri penderma organ tertinggi
Next post ‘Pain Clinic’ diperluas di klinik kesihatan Melaka
Ubah saiz-+=