PRU15: Ustaz Kazim tarik diri demi abang, amanat arwah ibu

Masa Membaca:1 Minit, 10 Saat

IPOH 6 Nov – Penceramah bebas, Datuk Mohammad Kazim Elias menjelaskan tujuannya menarik diri daripada menjadi calon Barisan Nasional (BN) di Parlimen Larut adalah demi kepentingan keluarga.

Dikenali sebagai Ustaz Kazim Elias, 50, beliau mahu mengelak timbulnya masalah susulan abangnya Datuk Mohd Najmuddin Elias bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Kurau mewakili Perikatan Nasional (PN-Bersatu).

“Saya berpegang kepada prinsip tidak bertanding dalam bidang politik jika digandingkan bersama ahli keluarga selain ia juga merupakan amanat arwah ibu,” katanya pada sidang media di Kompleks Darul Barakah, Manjoi di sini hari ini.

Mohammad Kazim berkata pada mulanya beliau telah mengambil keputusan untuk menandatangani watikah sebagai calon BN Parlimen Larut, tanpa mengetahui bahawa Najmuddin turut menandatangani watikah untuk mewakili parti lain.

“Selepas beberapa rundingan dan perbincangan dengan keluarga, saya ambil keputusan untuk tandatangan watikah sebagai wakil BN…tetapi abang saya pun tandatangan satu lagi watikah parti lain tanpa kami ketahui.

“Saya hormati dia dan beri laluan kepadanya,” katanya. DUN Batu Kurau terletak di bawah Parlimen Larut selain DUN Selama dan Kubu Gajah.

Pada 2 Nov, Mohammad Kazim menarik diri daripada bertanding mewakili BN di Parlimen Larut pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan digantikan dengan Ketua Penerangan Pemuda UMNO Bahagian Larut Mohd Shafiq Fhadly Mahmud yang akan bertemu Auzaie Fadzlan Shahidi (Pejuang-Berjasa), Zolkharnain Abidin (PH-Amanah) dan Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Bersatu).

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3167
Kongsi :
Previous post Dua remaja lelaki maut motosikal bertembung
Next post Masyarakat majmuk hadir sambutan Deepavali di Gadek
Ubah saiz-+=