PSMJ 2035 gariskan 175 strategi bangunkan Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 3 Saat

AYER KEROH 8 Mac – Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya 2035 (PSMJ 2035) bakal menggariskan 175 strategi untuk memacu pembangunan komprehensif dan holistik negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, kesemua strategi itu melibatkan pelbagai pelan tindakan berbentuk program dengan sasaran petunjuk prestasi utama (KPI) jangka pendek, sederhana dan panjang.

“PSMJ 2035 ini bukanlah dibuat secara semberono atau tangkap muat tetapi ia telah melalui pelbagai proses yang panjang.

“Ia termasuklah melalui proses hujahan dan bengkel yang agak panjang, selain turut membuka maklum balas kepada orang ramai untuk turut serta bagi memastikan sesuatu dasar dapat dilaksanakan secara menyeluruh,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Perhimpunan Bulanan Kerajaan Negeri dan Majlis Pelancaran Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya 2035 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), hari ini.

Sulaiman menzahirkan keyakinan PSMJ 2035 yang dilancarkan secara rasmi pada hari ini dapat memacu dan merancak pertumbuhan ekonomi selain turut meningkatkan sektor pelancongan, pemulihan warisan dan peningkatan modal insan di negeri ini.

“Untuk itu, saya merakamkan penghargaan kepada semua agensi dan pihak-pihak terlibat dalam mendokumentasikan pelan strategik ini hingga menjadi kenyataan.

“PSMJ 2035 akan menjadi detik bersejarah menuju perjalanan jauh dalam kanvas baharu yang akan membawa Melaka menuju masa depan cerah nan penuh gemilang,” ujarnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

619
Kongsi :
Previous post ‘Report Card’ 365 hari memimpin Melaka dibentang bulan depan
Next post Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya 2035 dilancarkan secara rasmi
Ubah saiz-+=