PSMJ 2035: Melaka garis 8 tema utama pembangunan

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

AYER KEROH 8 Mac. – Sebanyak lapan ‘flagship’ atau tema utama pembangunan telah digariskan sebagai antara agenda bagi merealisasikan Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya 2035 (PSMJ 2035) yang dilancarkan secara rasmi hari ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, lapan ‘flagship’ itu dipilih untuk memacu pembangunan Negeri Melaka bagi tempoh 15 tahun akan datang, bermula tahun ini.

Jelasnya, antara tema yang diberi penekanan ialah Zon Pembangunan Ekonomi menerusi Melaka Waterfront Economic Zone (M-WEZ), pengurusan air mampan, pembangunan bersepadu dan digital Melaka.

“Melalui M-WEZ, sebanyak tiga fokus utama ditetapkan iaitu menerusi Pelan Induk Pembangunan M-WEZ (Blueprint M-WEZ), mempelbagaikan ekonomi negeri menerusi aktiviti berkaitan maritim di sepanjang perairan negeri serta memperkukuhkan infrastruktur utama dengan penekanan ke arah infrastruktur digital dan utiliti.

“Pembangunan air mampan pula memberi penekanan kepada pengurusan sumber air, pengurusan air terawat dan pengurusan banjir, manakala pembangunan bersepadu diwujudkan salah satu pemangkin utama di dalam Pelan Pembangunan Negeri Melaka.

“Selain itu, Digital Melaka pula akan memfokuskan pemantapan infrastruktur telekomunikasi, pemerkasaan aplikasi pintar dan kandungan digital (Smart Melaka), tadbir urus digitalisasi kerajaan serta kesedaran masyarakat ke arah pendigitalan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Perhimpunan Bulanan Kerajaan Negeri dan Majlis Pelancaran Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya 2035 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), hari ini.

Mengulas lanjut, Sulaiman turut menggariskan empat lagi tema merangkumi Melaka Negeri Usahawan, Melaka Negeri Pelancongan, Melaka Hab Pendidikan dan Melaka Sejahtera bagi melengkapkan keberkesanan PSMJ 2035.

“Jelasnya, melalui tema-tema itu ia diyakini dapat memperkasa sektor keusahawanan, pelancongan dan pendidikan sebagai sektor penting negeri selain turut memberi penekanan kepada Melaka Sejahtera yang memfokuskan aspek perpaduan, kebajikan, kesihatan, belia dan sukan,” ujarnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1056
Kongsi :
Previous post Vaksin COVID-19 beri harapan sempadan negara dibuka, rancakkan pelancongan
Next post MBMB kumpul 393 kilogram minyak masak terpakai
Ubah saiz-+=