PU Azman didakwa lagi lakukan amang seksual terhadap remaja lelaki

KUALA LUMPUR, 21 Dis – Pendakwah selebriti Azman Syah Alias atau lebih dikenali sebagai PU Azman yang sebelum ini didakwa atas sembilan pertuduhan berkaitan seksual, didakwa di Mahkamah Ampang di sini hari ini, atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja lelaki berusia 17 tahun.

Pendakwaan hari ini merupakan pertuduhan seksual ke-10 yang dihadapi Azman Syah selepas dia didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban atas lima pertuduhan manakala empat pertuduhan di Mahkamah Majistret dan Sesyen Klang sebelum ini

Azman Syah, 41, yang memakai kurta biru dan berseluar kelabu mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu yang didakwa dilakukan di dalam bilik sebuah resort di Hulu Langat dekat sini pada 22 Julai lepas.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Norhashimah Hashim tidak menawarkan jaminan kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin, namun beliau memohon jumlah jaminan tinggi sekiranya mahkamah membenarkan jaminan kerana pertuduhan tersebut serius dan kes itu menarik perhatian umum berdasarkan status tertuduh.

“Jaminan rendah tidak menggambarkan keseriusan pertuduhan. Oleh itu, saya mohon jaminan tinggi berserta syarat tambahan tertuduh tidak mendekati mangsa dan saksi pendakwaan, melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali dan pasport diserahkan kepada mahkamah,” katanya.

Bagaimanapun, peguam Mohamad Zahid Ahmad mewakili Azman Syah memohon jaminan dibenarkan kerana ia penting bagi anak guamnya menyediakan pembelaan terbaik bagi pertuduhan tersebut.

“Jaminan turut diberikan kepada anak guam saya bagi pertuduhan yang sama iaitu Mahkamah Klang membenarkan jaminan RM24,000 manakala Mahkamah Seremban memberi jaminan RM40,000.

“Kakak tertuduh juga hadir dan sedia menjadi penjamin. Saya mohon jaminan paling minimum kerana pendapatan anak guam terjejas teruk selepas dia didakwa di mahkamah dan perlu menanggung dirinya serta adik-beradik lain yang tidak bekerja,” kata Mohamad Zahid.

Hakim Norhazani Hamzah membenarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali, tidak mendekati mangsa dan saksi pendakwaan sehingga kes selesai serta menyerahkan pasport kepada mahkamah selain menetapkan sebutan kes pada 10 Feb depan.

Azman Syah didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban pada 12 Okt lepas terhadap lima pertuduhan melakukan amang seksual ke atas dua remaja lelaki bawah umur.

Pada 7 Dis, dia turut didakwa di Mahkamah Sesyen dan Majistret Klang atas empat pertuduhan jenayah seksual membabitkan tiga remaja lelaki antara Februari hingga Ogos lepas.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1499
Previous post Sasar pelaburan asing RM 6 bilion pada 2023
Next post Koa Denko tambah nilai pelaburan RM750 juta di Melaka