Pusat jagaan warga emas akan dibuka di RKSK Bukit Katil

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

BANDA HILIR 4 Februari – Taman Rumahku Syurgaku (RKSK) Bukit Katil, akan beroperasi sebagai pusat penjagaan warga emas bagi menempatkan mereka yang tidak mempunyai waris.

Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) Datuk Wira Md Rawi Mahmud berkata, beberapa rumah di taman itu akan diambil dan dijadikan pusat jagaan yang dijangka akan beroperasi selewat-lewatnya pada April depan.

“Ada beberapa buah rumah di situ kita ambil dan jadikan pusat jagaan. Untuk permulaan ini, kita jangkakan penghuni sekitar 15 orang, termasuk lelaki dan wanita.

“Kita jangka operasinya akan mula pada Mac jika tidak selewat-lewatnya pada April. Sekiranya bilangan penghuni yang diterima ramai kita akan tambah keperluan dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Sambutan Majlis Tahun Baru Cina, Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) Cawangan Melaka Bersama MAIM, di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pay Teck, hari ini.

2E335B36-6AA1-4C79-B0F5-75C26F1CC57F
Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) Datuk Wira Md Rawi Mahmud pada Sambutan Majlis Tahun Baru Cina, Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) Cawangan Melaka Bersama MAIM, di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pay Teck, Melaka. Foto Iqmal Haqim Rosman

Menurut beliau, meskipun pusat itu akan dikendalikan oleh operator luar namun pemantauan serta selian di bawah MAIM.

“Sebagai agensi kerajaan kita tidak dapat jadi pemilik kepada pusat itu dan ia diberikan kepada operator luar tetapi di bawah seliaan MAIM.

“Walaupun kes warga emas yang tidak mempunyai waris di  Melaka jarang kami terima, namun jika ada mereka terpaksa dirujuk ke rumah penjagaan di Muar, Johor kerana kita hanya ada satu di Kemengkang, Jasin,” katanya.

Md Rawi berkata, operasi pusat itu nanti juga akan dibantu oleh sukarelawan MAIM yang terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk pesara jururawat dan doktor.

“Malah kita juga akan bersama Exco Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh, yang mana ada kalangan kumpulan doktor yang akan membantu,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3345
Kongsi :
Previous post Thaipusam: Polis Selangor jangka lebih 300,000 pengunjung di Batu Caves
Next post Tubuh koperasi, jana pendapatan
Ubah saiz-+=