Tubuh koperasi, jana pendapatan

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

BANDA HILIR 4 Februari – Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA), menyarankan lebih banyak cawangan di bawahnya menubuhkan koperasi bagi menambah sumber pendapatan.

Presidennya, Profesor Datuk Dr Taufiq Yap Yun Hin berkata, buat masa ini hanya dua cawangan MACMA sahaja yang mempunyai koperasi iaitu di Terengganu dan Kelantan.

“Dua cawangan ini paling aktif dan selain menubuhkan koperasi mereka juga menjalankan aktiviti tanaman cendawan putih untuk menjana pendapatan.

“Jadi saya harap cawangan lain akan mengikut sama untuk lebih aktif dan tubuhkan koperasi. Mungkin selepas ini MACMA Melaka kerana cawangan ini antara yang aktif jalankan aktiviti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Sambutan Majlis Tahun Baharu Cina, Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) Cawangan Melaka Bersama MAIM, di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pay Teck, hari ini.

EA0FAA29-8E05-4993-BE5A-722980FF95EA
Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) Datuk Wira Md Rawi Mahmud ketika hadir menyempurnakan perasmian Sambutan Majlis Tahun Baru Cina, Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) Cawangan Melaka Bersama MAIM, di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pay Teck, Melaka. Foto Iqmal Haqim Rosman

Menurut beliau, pada tahun ini juga MACMA yang sudah mempunyai ahli seramai 5,000 orang di seluruh negara akan membuka dua cawangan baharu pada tahun ini.

“Dua cawangan baharu akan dibuka pada tahun ini iaitu di Pulau Langkawi dan juga Perlis.

“Sebelum ini (cawangan) Perlis bergabung dengan Kedah, jadi selepas ini mempunyai cawangan sendiri.

“Jadi saya amat berharap cawangan-cawangan dapat aktif menjalankan aktiviti serta menjana pendapatan sendiri meskipun MACMA mempunyai peruntukan dalaman pada setiap tahun,” katanya.

Terdahulu, sambutan Tahun Baharu Cina itu dihadiri kira-kira 1,000 tetamu selain terdapat juga pertunjukan tarian naga serta acara menggaul yee sang sebagai simbol kepada kemewahan dan kemakmuran.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1866
Kongsi :
Previous post Pusat jagaan warga emas akan dibuka di RKSK Bukit Katil
Next post Empat wanita antara lima ditahan berhubung kes bunuh rakan sekerja
Ubah saiz-+=