Thaipusam: Polis Selangor jangka lebih 300,000 pengunjung di Batu Caves
KUALA LUMPUR, 4 Feb – Polis menjangkakan lebih 300,000 pengunjung berada di Batu Caves di sini sempena perayaan Thaipusam, bermula petang ini hingga esok.
Pemangku Ketua Polis Selangor Datuk S. Sasikala Devi berkata ini berikutan pihak kuil di Batu Caves memaklumkan kepada polis bahawa pengunjung akan lebih ramai apabila ketibaan pedati petang ini.
“Sejak semalam ramai pengunjung yang berulang-alik ke Batu Caves dan dijangkakan bertambah sehingga hari kejadian (kemuncak sambutan Thaipusam esok).
“Setakat hari ini, keadaan di Batu Caves terkawal dan teratur kecuali lalu lintas yang agak sesak,” katanya dalam sidang media selepas meninjau persiapan perayaan Thaipusam hari ini.
Mengulas mengenai penugasan polis di Batu Caves, beliau berkata seramai 1,888 pegawai dan anggota polis ditempatkan di Batu Caves sepanjang sambutan Thaipusam.
Sasikala menasihatkan pengunjung yang hadir di Batu Caves agar tidak meletakkan kereta-kereta di tepi jalan kerana ia akan mengganggu laluan pergerakan pedati.
“Setakat ini, kami hanya mengeluarkan saman kepada kenderaan pengunjung-pengunjung yang menghalang laluan ke Batu Caves,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim dalam kenyataan hari ini berkata polis kontinjen Kuala Lumpur telah menugaskan seramai 682 pegawai dan anggota polis bagi melancarkan perjalanan dan keselamatan lalu lintas semasa pergerakan membawa pedati dari Kuil Sri Maha Mariamman, Jalan Tun H.S Lee ke Kuil Subramaniam, Batu Caves.
Beliau berkata berikutan itu, beberapa lokasi jalan telah ditutup dan dilencongkan malam tadi hingga 4 pagi tadi.
Katanya, beberapa jalan juga akan dilencongkan Isnin ini bermula 6 petang hingga 12 tengah malam.
Antara yang terlibat ialah Jalan Tun H.S.Lee, Jalan Sultan, Jalan Tun Tan Cheng Lock, Jalan Tun Perak/Pudu, Jalan Leboh Ampang, Jalan Ampang dan Jalan Munshi Abdullah.
Jalan-jalan lain ialah Jalan Dang Wangi, Jalan Raja Laut, Jalan Sri Amar, Jalan Tun Razak dan Jalan Sultan Azlan Shah (kedua-dua arah).
“Orang awam dinasihatkan agar merancang perjalanan awal serta memilih laluan alternatif untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas.
“Polis juga menasihatkan agar orang ramai tidak mengganggu-gugat ketenteraman awam semasa pergerakan membawa pedati itu,” katanya.
Azmi berkata jika terdapat sebarang maklumat berkaitan jenayah, boleh disalurkan ke Hotline Polis Kuala Lumpur 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berdekatan.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.