Pusat Pemulihan di Jasin cetus kluster baharu COVID-19

Masa Membaca:1 Minit, 2 Saat

AYER KEROH 13 Ogos – Sebuah pusat pemulihan di Jalan Melaka, Jasin mencetuskan kluster baharu COVID-19, hari ini.

Dikenali sebagai Kluster Jalan Melaka Jasin, ia dikategorikan sebagai kluster kumpulan berisiko tinggi oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

KKM dalam satu kenyataan memaklumkan kluster itu mula dikesan membabitkan lelaki warganegara Malaysia berusia 29 tahun yang dilaporkan positif pada 5 Ogos hasil saringan bergejala.

“Kes indeks mula bergejala pada 30 Julai dan sehingga kini seramai 22 disahkan positif dan 37 kontak rapat telah disaring,” kata kenyataan itu.

Dalam pada itu, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Melaka memaklumkan terdapat pertambahan 723 kes baharu dan 11 kematian di Melaka pada hari ini.

Daripada 723 kes baharu yang dilaporkan, majoriti punca jangkitan adalah membabitkan kontak keluarga iaitu sebanyak 270 kes.

Ia diikuti 199 kes saringan bergejala orang ramai, 125 kes melibatkan kluster kilang dan 24 kes tempat kerja bukan kilang.

Manakala, 11 kes kematian yang direkodkan adalah membabitkan mereka yang berusia 30 hingga 80 tahun yang tidak dikategorikan di dalam mana-mana kluster aktif di negeri ini.

“Sehingga kini, seramai 6,270 kes masih dirawat dengan 86 daripadanya ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) dan 23 memerlukan alat bantuan pernafasan,” kata kenyataan JKN Melaka.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

668
Kongsi :
Previous post Jangan hapuskan cuti petugas hadapan – CUEPACS
Next post A Sense of Minangness: Pop Minang and the Rantau
Ubah saiz-+=