Jangan hapuskan cuti petugas hadapan – CUEPACS

Masa Membaca:1 Minit, 55 Saat

BUKIT KATIL 13 Ogos – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) meminta kerajaan tidak menghapuskan cuti penjawat awam yang terpaksa bekerja sebagai petugas barisan hadapan sejak mula Perintah kawalan Pergerakan (PKP) pertama tahun lalu.

Presiden CUEPACS, Adnan Mat berkata, permintaan itu antara tiga perkara yang dikemukakan pihaknya kepada kerajaan memandangkan isu pembekuan cuti masih menjadi runggutan dalam kalangan petugas barisan hadapan.

“Oleh itu, kita minta kerajaan tidak menghapuskan cuti penjawat awam bagi tempoh tertentu atau tidak lebih daripada tiga tahun memandangkan cuti mereka dibekukan sejak PKP pertama lagi.

“Petugas hadapan ini sudah bekerja di luar rutin kehidupan biasa mereka dan kita (CUEPACS) sebagai badan yang menjaga kebajikan penjawat awam sudah tentu kita melihat apakah bentuk penambahbaikan yang patut kami kemukakan kepada kerajaan,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini (MHI) ketika mengadakan lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Tun Ali.

Turut hadir Pengerusi CUEPACS Melaka, Norman Taib dan Ketua Pusat Pemberian Vaksin Dewan Tun Ali, Dr Munirawati Rafzani.

Program itu adalah siri lawatan CUEPACS ke PPV setiap negeri antaranya Kedah, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Pahang dan bakal berkunjung ke Terengganu esok.

Menurut Adnan, penjawat awam yang bertugas di barisan hadapan, selain kehilangan rutin kebiasaan hidup sebelum ini, mereka juga terdedah dengan jangkitan COVID-19 dan menjalani tempoh kuarantin malah lebih malang turut kehilangan nyawa.

 

“Mereka ini tidak dibenarkan mengambil cuti jadi dalam isu ini, CUEPACS minta kerajaan agar mempertimbangkan tiga perkara ini.

“Kita minta kerajaan mempertimbangkan kepada mana-mana petugas hadapan yang tidak dapat habiskan cuti supaya dibayar token sebagaimana dipraktikan oleh negara jiran, Singapura.

“Selain itu, cuti yang tidak dihabiskan boleh disimpan dalam bentuk gantian cuti rehat yang melebihi daripada 15 hari sebagaimana biasa,” ujarnya.

Mengenai pembayaran elaun petugas hadapan, katanya, setakat ini, kerajaan telah menepati bayaran elaun yang dijanjikan kepada penjawat awam dan sukarelawan yang terlibat bertugas di barisan hadapan.

“Namun, jika dilihat dari aspek kebajikan petugas hadapan, tidak banyak isu tetapi apa yang penting bagi setengah tempat, mereka masih tidak mendapat cuti,” katanya.

Adnan berkata, CUEPACS turut menghulurkan bantuan kepada mana-mana penjawat awam yang kehilangan nyawa sewaktu bertugas akibat COVID-19 menerusi penubuhan Tabung Fronline Prihatin.

Ujarnya, sejak diperkenalkan tahun lalu, sebanyak RM10 juta telah disalurkan kepada petugas barisan hadapan yang meninggal dunia akibat dijangkiti virus tersebut.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

960
Kongsi :
Previous post Ketua Pembangkang bakal diberi saraan dan kemudahan setara Menteri Kanan – Muhyiddin
Next post Pusat Pemulihan di Jasin cetus kluster baharu COVID-19
Ubah saiz-+=