Puteri Sarah fail cerai terhadap Syamsul Yusof
KUALA LUMPUR, 16 Januari – Selepas hampir sembilan tahun mendirikan rumah tangga, pelakon Puteri Sarah, hari ini memfailkan permohonan cerai dengan suaminya yang juga pengarah, Syamsul Yusof di Mahkamah Rendah Syariah di sini.
Puteri Sarah, 38, atau nama sebenarnya Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin selaku plaintif memfailkan permohonan itu menerusi Tetuan Akberdin & Co di kaunter pendaftaran Mahkamah Syariah di sini dengan menamakan Syamsul atau nama sebenarnya, Mohd Shamsul Md Yusof, 39, selaku defendan.
Peguam syarie Datuk Akberdin Abdul Kader, yang mewakili Puteri Sarah memberitahu pemberita sebutan kes ditetapkan pada 7 Mac ini di hadapan Hakim Syarie Akmalludin Ilyas dan pihaknya akan menyerahkan saman itu kepada defendan dan beliau perlu hadir ke mahkamah pada tarikh tersebut bagi menjawab saman.
Dalam permohonan itu, Puteri Sarah berkata beliau berhasrat untuk bercerai dengan suami secara baik dengan kebenaran mahkamah di bawah Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 atas alasan mereka tidak ada persefahaman dan berlaku shiqaq berpanjangan serta tidak lagi dapat hidup bersama sebagai suami isteri mengikut hukum syarak.
Berdasarkan permohonan itu, Puteri Sarah berkata  beliau bersama anak-anak tidak lagi tinggal bersama Syamsul sama ada di rumah mentua atau di rumah kelamin mereka di Taman Melawati.
“Hal ini berikutan akibat tekanan atau gangguan berpunca daripada pihak ketiga atau hubungan sulit defendan (Syamsul), sehingga beliau telah lama tidak pulang ke rumah kelamin tersebut.
“Saya percaya oleh kerana tiada persefahaman antara kedua-dua pihak, maka jika diteruskan mungkin akan mendatangkan kemudaratan kepada kami, khususnya diri saya, emosi saya dan anak-anak. Oleh itu, saya mohon mahkamah meluluskan permohonan perceraian ini,” katanya.
Puteri Sarah, yang berkahwin pada 8 Mac 2014 dan dikurniakan dua anak, Shaikul Islam, 6, dan Sumayyah, 4, ketika ditemui pemberita berkata beliau lega kerana urusan permohonan cerai berjalan lancar.
“Tahun ini cukup sembilan tahun perkahwinan kami dan tarikh yang mahkamah berikan iaitu 7 Mac adalah signifikan kerana 8 Mac adalah ulang tahun (perkahwinan) kami…ia adalah kebetulan. Alhamdulillah, cukup sembilan tahun saya menjadi isteri kepada Syamsul dan nampaknya kini tiada rezeki…,” katanya.
Selebriti itu yang menolak dakwaan bahawa beliau isteri derhaka kerana meminta cerai dan antipoligami berkata poligami itu indah jika seorang suami itu berlaku adil.
“Tapi disebabkan saya ditipu dan beliau tidak minta izin (untuk berkahwin lain), jadi saya rasa ini adalah jalan terbaik untuk saya. Saya telah menjalankan tanggungjawab sebagai isteri dengan baik sebelum ini dan telah berbincang dengan keluarga serta berjumpa ustaz dan ustazah untuk menyelesaikan masalah,” kata Puteri Sarah yang turut memaklumkan beliau berbincang dengan keluarga sebelum memfailkan perceraian.
Sementara itu, Akberdin berkata pihaknya akan memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap Ira Kazar atau nama sebenarnya Faghira Fatini, kakaknya, serta bapa mereka yang juga pelakon veteran, Kazaruddin Saisi atas dakwaan melanggar perintah Mahkamah Sesyen Sivil di sini dalam kes saman difailkan Puteri Sarah sebelum ini.
“Kami akan mohon supaya mahkamah mengeluarkan perintah untuk menjatuhkan hukuman penjara dan denda kepada mereka mengikut budi bicara Mahkamah Sivil kerana melanggar perintah mahkamah. Sebelum ini, memang ada pelanggaran namun selepas pihak kami hantar surat, mereka sudah ‘slow down’. Tapi kali ini memang pelanggaran paling dahsyat, kerana Ira tidak boleh sama sekali ganggu Syamsul sehingga kes saman selesai.
“Tetapi, Ira terus melanggar perintah mahkamah dengan pergi ke luar negara untuk bernikah dengan Syamsul tanpa mendapat izin mahkamah di sini,” katanya.
Pada Jun tahun lepas, Puteri Sarah selaku plaintif memfailkan saman sivil terhadap Ira atas dakwaan menerima gangguan dan ugutan daripada wanita itu menerusi media sosial dan berjaya memperoleh perintah injunksi daripada mahkamah antara lain bagi menghalang wanita itu menghampiri dan mengganggu plaintif, suami dan keluarga.
Pada 6 Jan lepas, Syamsul mendedahkan beliau sudah bernikah dengan Ira di Thailand dalam video yang dikongsi menerusi Instagram.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.