QSQC diwujudkan untuk perkukuh kawalan biosekuriti

Masa Membaca:1 Minit, 43 Saat

SEPANG, 14 Julai – Pusat Sehenti Kuarantin Negara (OSQC) akan diwujudkan di pintu masuk utama pengimportan dan pengeksportan hasil pertanian dan agromakanan negara bagi memperkukuhkan kawalan biosekuriti dan keselamatan makanan negara.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata buat permulaan, OSQC dicadangkan dibuat di Pelabuhan Klang kerana ia merupakan pintu masuk yang terbesar dalam negara.

Beliau berkata OSQC akan menyediakan fasiliti kuarantin dan keselamatan agromakanan yang bersepadu termasuk pemeriksaan, rawatan kuarantin, pengujian, penyelidikan, pemantauan dan pelupusan ke atas komoditi pertanian dan produk agromakanan.

“Pada masa ini Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) mengadakan pemeriksaan rawak terhadap kemasukan barang makanan yang diimport, dengan kewujudan OSQC kelak, pemeriksaan jadi lebih teliti dan cepat,” katanya.

Ronald berkata demikian dalam sidang media selepas membuat tinjauan operasi pengimportan dan pengeksportan produk pertanian dan haiwan di Kompleks Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.

Beliau berkata Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) melalui MAQIS sentiasa berwaspada terhadap aktiviti import dan eksport produk pertanian untuk memastikan biosekuriti negara terjamin serta rakyat dapat menikmati produk hasilan pertanian dan makanan yang selamat untuk dimakan, bersih, halal dan bebas dari segala penyakit dan perosak, selain melindungi industri pertanian negara.

Ronald dalam pada itu berkata MAFI melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) telah melaksanakan inisiatif pengiktirafan loji-loji sembelihan baharu di negara pengeksport bagi memastikan sumber bekalan seperti daging lembu, kerbau dan ayam dapat dipelbagaikan.

Menurutnya, jumlah loji yang diiktiraf telah meningkat kepada 227 loji berbanding 216 loji di 26 negara sebelum ini, melalui pertambahan 11 loji baharu yang terletak di negara pengeksport Thailand, India dan Pakistan.

“Pertambahan sebanyak 11 loji ini akan dapat membantu memastikan jumlah bekalan yang sentiasa terjamin dan dapat menstabilkan harga pasaran daging terutamanya daging import dari negara India,” katanya.

“MAFI akan terus berusaha meningkatkan loji-loji luar negara yang layak dan menepati piawaian bagi memastikan tiada sebarang unsur monopoli dan manipulasi pasaran. Ini dapat menggalakkan persaingan sihat yang dapat menawarkan harga yang murah kepada rakyat sekali gus memastikan kelangsungan bekalan,” tambahnya.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1031
Kongsi :
Previous post MPJ ‘beli’ tikus RM3 seekor
Next post MOTAC semak semula sasaran jumlah kedatangan pelancong ke Malaysia
Ubah saiz-+=