Ragbi Melaka berwajah baharu

Masa Membaca:2 Minit, 1 Saat

PASUKAN Ragbi Melaka mendapat suntikan semangat baharu apabila menerima banyak sokongan dan tajaan untuk bangkit daripada kelesuan.

Presiden Persatuan Ragbi Negeri Melaka (Melaka Rugby), Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, dengan suntikan baharu daripada penaja-penaja itu, ia sedikit semangat memberi rangsangan kepada pemain untuk bangkit.

Katanya, jika sebelum ini Melaka sering dianggap pasukan belasahan, namun situasi itu diharap sudah berubah dengan semangat baharu yang bakal dipamerkan.

“Pembabitan penaja ini memberi sedikit rangsangan kepada pemain-pemain dan saya lihat, persiapan tahun ini pemain diberi suntikan baik dengan elaun yang lebih teratur berbanding tahun lalu.

“Tahun lalu, adalah tahun pertama selepas sembilan tahun tiada penajaan yang masuk, antara faktor adalah disebabkan isu pengurusan, dan kini kita sudah merapikan semuanya daripada bahagian pengurusan hingga ke pemain.

“Kita tidak sasar terlalu tinggi, namun sekurang-kurangnya pasukan Melaka akan menjadi pencabar hebat dalam apa jua kejohanan yang disertai,” katanya.

Beliau berkata demikian pada media dalam Majlis Pelancaran Jersi Rasmi Pasukan Ragbi Negeri Melaka Untuk Kejohanan Ragbi Piala Agong 2022 di sebuah hotel di sini, 8 November lalu, yang turut dihadiri Pengurus Pasukan Ragbi Melaka, Mohd Zahiruddin Ahmad.

Pada majlis itu, Melaka Rugby mengumumkan telah menerima tajaan jersi daripada Total Field, selain turut menerima suntikan dana daripada Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali dan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan 1 Datuk Seri Ahmad Hamzah.

Menyingkap sejarah pasukan ragbi Melaka, Hameed berkata, pasukan itu pernah gah pada 1998 apabila mara ke pentas akhir Kejohanan Piala Agong di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Malah, Melaka juga pernah menjadi ‘kilang’ melahirkan pemain-pemain ragbi kebangsaan suatu ketika dahulu.

“Namun, sejak tujuh tahun lalu, Melaka telah terkeluar dari kancah Ragbi kebangsaan disebabkan faktor kewangan dan kelemahan pengurusan.

“Bagaimanapun, saya optimis tahun ini kita mampu kembali bangkit menyusun atur gerak langkah dan persiapan lebih rapi,” katanya.

Sementara itu, Mohd Zahiruddin berkata, skuad ragbi Melaka kini di bawah kendalian Aliff Nur Najmi Chua yang telah merekrut kira-kira 60 peratus muka baharu yang akan bergandingan dengan pemain pengalaman.

Katanya, Kejohanan Ragbi Piala Agong bakal menjadi pentas permulaan untuk mengembalikan semula kegemilangan sukan itu di negeri ini.

“Kejohanan ini adalah pendedahan dalam usaha menggilap pemain-pemain baharu untuk tampil lebih baik dalam aksi-aksi mendatang.

“Walaupun sedar kita bukanlah pasukan pilihan, namun kita percaya kita sedikit demi sedikit, kita mampu memberi saingan dan cabaran dalam apa jua kejohanan yang disertai kelak,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2185
Kongsi :
Previous post PM lawat Pekan Durian Tunggal
Next post Kerajaan campuran ditentukan parti, bukan individu – Ismail Sabri
Ubah saiz-+=