Rai Deepavali dalam normal baharu

Masa Membaca:1 Minit, 41 Saat

REMBIA 12 Nov. – Meraikan Deepavali dalam situasi normal baharu bukan setakat perkara baharu bagi anggota komuniti India di negara ini, malah mendidik mereka supaya sentiasa bersabar bagi mengelak daripada dijangkiti pandemik COVID-19.

Bagi 14 petugas Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), kehadiran Deepavali Sabtu ini tetap diraikan dengan gembira meskipun, terpaksa menerima keadaan tidak boleh merentas daerah, apatah lagi negeri untuk berkunjung ke rumah sanak saudara.

S.Kumar, 42, berkata beliau terpaksa menerima syarat dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang tidak mengizinkan penduduk negeri ini merentas daerah dan negeri.

“Setiap kali Deepavali, saya akan berkunjung ke rumah saudara mara di Selangor tetapi kali ini saya tidak boleh pergi ke sana kerana PKPB.

“Saya terpaksa terima normal baharu menyambut Deepavali untuk mengelak daripada dijangkiti COVID-19,” katanya ketika ditemui selepas menerima sumbangan Deepavali Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) yang disampaikan Yang Dipertuanya Mohd Fadhil Hassan di MPAG, di sini semalam.

Sumbangan wang tunai dan barangan makanan itu bertujuan meringankan beban mereka menyambut Deepavali.

Walaupun sedih tidak mampu meraikan Deepavali seperti tahun sebelumnya, S. Mathivanan, 59, bagaimanapun tetap gembira menyambutnya kerana masih mampu melawat sanak saudara di daerah ini.

“Saya tidak boleh keluar dari Alor Gajah tetapi saya ada ramai saudara mara di daerah ini yang boleh dikunjungi pada Deepavali,” katanya.

K.Mathan, 31, berkata beliau tetap gembira menyambut perayaan itu meskipun terpaksa sekadar melawat saudara mara di daerah ini.

Katanya, beliau mempunyai saudara mara di Daerah Melaka Tengah dan Jasin tetapi tidak bercadang mendapatkan kebenaran polis untuk melawat mereka kerana tidak menjangka akan dibenarkan berbuat demikian.

Mohd Fadhil berkata, MPAG komited dalam menyediakan sumbangan kepada kakitangan pelbagai kaum setiap kali menjelang perayaan kaum masing-masing.

“Walaupun sumbangan itu tidak seberapa, yang lebih penting ialah tanda ingatan dan penghargaan MPAG kepada kakitangan atas jasa dan sumbangan mereka kepada agensi ini dalam menyediakan perkhidmatan berkualiti tinggi untuk anggota masyarakat,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta kakitangan MPAG supaya sentiasa berdedikasi dalam melaksanakan tugas masing-masing, sejajar usaha menjadikan MPAG sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT) yang cemerlang dalam melaksanakan tanggungjawab terhadap masyarakat.

Views:

386
Kongsi :
Previous post Latihan atlet Para Sukma Melaka dihentikan serta-merta
Next post COVID-19: MKHA rayu kerajaan bantu ahli
Ubah saiz-+=