Latihan atlet Para Sukma Melaka dihentikan serta-merta

Masa Membaca:1 Minit, 3 Saat

AYER KEROH 12 Nov. – Semua program latihan melibatkan atlet Para Sukan Malaysia (Sukma) dihentikan serta-merta sehingga tamat Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), 6 Disember depan.

Perkara itu diputuskan Pengerusi Jawatankuasa NGO, Pembangunan Belia dan Sukan negeri Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi (Khas) Sukan Malaysia secara dalam talian baru-baru ini.

Menurutnya keputusan itu diambil setelah mengambil kira kepentingan kesihatan, kesejahteraan dan kebaikan semua pihak dalam mendepani cabaran wabak COVID-19 yang memasuki gelombang ketiga.

Beliau bagaimanapun memaklumkan, program latihan melibatkan atlet Sukma Melaka akan diteruskan dan berjalan seperti biasa sehingga 6 Disember depan.

“Kesemua latihan melibatkan atlet Sukma itu haruslah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah dibentangkan oleh Menteri Kanan Pertahanan pada 13 Oktober lalu,” katanya.

Antara yang ditetapkan sepanjang PKPB ialah tidak membenarkan sebarang aktiviti di kawasan tertutup (indoor), aktiviti kolam renang, aktiviti bersentuhan fizikal, aktiviti perlawanan bagi sukan berpasukan dan aktiviti penganjuran kejohanan atau pertandingan.

Bagaimanapun, program latihan berpusat atlet yang sedia ada di bawah kendalian Majlis Sukan Negara dan Majlis Sukan Negeri Melaka boleh diteruskan secara tertutup dan terkawal (Quarantine Based Approach).

Untuk rekod, kejohanan Sukma dan Para Sukma 2020 yang dijadual berlangsung tahun depan telah ditangguhkan dan penganjurannya ditunda ke tahun 2022 dengan Johor masih kekal menjadi tuan rumah.

Views:

247
Kongsi :
Previous post Penipuan SMS: Dua lagi direman termasuk pegawai syarikat Telco
Next post Rai Deepavali dalam normal baharu
Ubah saiz-+=