Sorting by

×

Raih 10A+ meskipun diuji COVID-19 sehari sebelum SPM

Masa Membaca:1 Minit, 50 Saat

AYER KEROH 16 Jun – Berjuang melawan COVID-19 dan melakukan persiapan akhir untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menjadi dugaan terbesar bagi pelajar cemerlang Kolej Yayasan Saad Melaka (KYS) Nik Hazeeq Mirza Nik Mohd Hanafi.

Namun atas kesungguhan dia berjaya membuktikan masalah kesihatan bukan penghalang baginya untuk mencapai keputusan cemerlang 10A+.

Dia mengakui agak kecewa kerana tidak dapat menduduki SPM bersama 123 lagi calon lain apabila dia dan seorang rakan diarahkan menjalani kuarantin selepas disahkan positif COVID-19 sehari sebelum menduduki peperiksaan kertas pertama Bahasa Melayu.

Akibat menjalani kuarantin dia juga tidak menduduki kertas peperiksaan Bahasa Inggeris dan Pendidikan Islam mengikut jadual asal SPM.

Katanya, masalah kesihatan memberikan tekanan membuatkan dia gelisah, kerana bukan saja berjuang melawan COVID-19 tetapi perlu juga lakukan persiapan untuk menduduki peperiksaan.

“Namun dorongan daripada ibu, bapa, rakan sekelas dan guru membantu saya untuk kembali bersemangat.

“Bila difikirkan semula, ada hikmah sebalik dugaan menimpa, mungkin Allah beri saya peluang untuk lakukan persiapan yang terbaik.

“Selain itu saya kerap bermuhasabah, ambil masa sebentar untuk lihat kesilapan jika gagal mencapai sasaran dan perbaiki semula semua itu,” katanya ketika ditemui ketika mengambil keputusan SPM di KYS, di sini, hari ini.

Berkongsi tips untuk berjaya Nik Hazeeq berkata, sebagai Muslim dia menjaga solat lima waktu selain kerap melakukan solat hajat bagi memohon agar dikurniakan ketenangan.

TENGKU Nuqman Faris (tengah) bersama bapa Dr Tengku Saifudin Tengku Ismail, Kakak, Tengku Nureen Ameera Tengku Saifudin, Ibu, Dr Sumiati Mohd Daud dan adiknya Tengku Nurhan Akmal Tengku Saifudin meraikan kejayaannya yang memperoleh keputusan 10A+

Sementara itu Tengku Nuqman Faris Tengku Saifudin juga pelajar cemerlang memperoleh keputusan 10A+ berkata, mengikuti kelas secara dalam talian antara cabaran utama dalam usahanya melakukan persiapan menduduki SPM.

“Akibat COVID-19 kira-kira 50 peratus kelas diadakan secara dalam talian, berikutan itu saya perlu memberikan fokus sepenuhnya kepada apa yang disampaikan guru.

“Syukur doa saya dimakbulkan, saat yang menggembirakan ibu bapa saya dan adik-beradik lain menjadi kenyataan pada hari ini, kami semua berkongsi kejayaan ini,” katanya.

Dua pelajar berkenaan antara sembilan daripada 125 calon menduduki SPM 2021 di KYS yang memperoleh keputusan cemerlang 10A+.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4192
Kongsi :
Previous post Punca 24,941 calon tidak duduki peperiksaan SPM 2021 akan dikenal pasti – Radzi Jidin
Next post SPM 2021: Melaka rekod pencapaian GPN 4.83 peratus
Ubah saiz-+=