Rakyat jadi ‘hakim’ nilai prestasi kerajaan 100 hari mentadbir

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

AYER KEROH 9 Mei – Prestasi kerajaan negeri dalam mengotakan 58 inisiatif dalam tempoh 100 hari pentadbiran selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Nov tahun lalu bergantung kepada penilaian rakyat untuk menghakimi kredibiliti itu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata perspektif 100 hari kerajaan negeri mentadbir hakikatnya bukan diminta oleh rakyat, sebaliknya kerajaan Barisan Nasional (BN) yang mengemukakan tawaran aku janji itu.

Katanya, BN yang menetapkan tempoh berkenaan dengan tujuan untuk meyakinkan rakyat bahawa pentadbiran parti itu serius dan berusaha melaksanakan semua manifesto.

“Atas kesedaran itu, pentadbiran 100 hari ini sangat penting untuk diketahui oleh rakyat bagi menggambarkan sejauh mana komitmen kerajaan yang dipilih bagi mengotakan janji-janji seperti terkandung dalam manifesto pilihan raya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Pengarah Jabatan Penerbitan, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Razali Che Mat dalam wawancara di pejabatnya di Kompleks Seri Negeri yang disiarkan di majalah Dewan Masyarakat keluaran April 2022.

Sehubungan itu, Sulaiman berkata kerajaan mesti komited untuk mengotakan semua janji bukan sahaja dalam tempoh 100 hari, malah bagi tempoh satu tahun, tiga tahun dan lima tahun akan datang.

“Dalam soal ini, sama ada tempoh 100 hari itu cukup atau tidak untuk rakyat menilai pestasi semasa kerajaan. Terpulanglah kepada rakyat untuk menghakiminya.

“Paling utama, adakah janji yang telah diberikan kepada rakyat untuk ditunaikan dan dilaksanakan dalam tempoh 100 hari, kita melakukannya?

“Alhamdulillah, sebanyak 58 inisiatif yang diusahakan dalam tempoh 100 hari pentadbiran kerajaan ini, kita berjaya mencapai hampir 100 peratus. Selepas ini, fokus utama kerajaan adalah untuk melihat inisiatif yang dijanjikan dalam tempoh satu tahun pula,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

912
Kongsi :
Previous post Op Selamat 18: Melaka catat 676 kemalangan, empat maut
Next post Bakal pengantin terduduk, barangan perniagaan, persiapan perkahwinan hangus
Ubah saiz-+=