Bakal pengantin terduduk, barangan perniagaan, persiapan perkahwinan hangus

Masa Membaca:1 Minit, 56 Saat

DUYONG 9 Mei – Kebakaran pada petang 6 Syawal lalu bukan saja memusnahkan pakaian terpakai (bundle) jualan Muhammad Rafiq Abu Samah, 26.

Lebih memerit persiapan pemuda ini untuk bergelar raja sehari Ogos nanti turut hangus menjadi abu bersama rumah pusaka peninggalan orang tuanya di Semabok, di sini.

Akibat kebakaran pada jam 2.30 petang 7 Mei lalu alat ganti motosikal di simpan Muhammad Rafiq, di rumah berkenaan tidak sempat diselamatkan menyebabkan dia menanggung kerugian dianggarkan berjumlah lebih RM80,000.

RUMAH Muhammad Rafiq yang musnah akibat kebakaran yang berlaku di Semabok. Foto Iqmal Haqim Rosman

“Saya terduduk seketika apabila melihat rumah jadi abu, semua barangan disimpan habis terbakar.

“Persiapan perkahwinan memang saya buat awal kerana tidak mahu kelam kabut, tidak sangka pula akan jadi begini,” katanya ketika ditemui petang tadi.

Katanya, kebakaran turut menjejaskan sebahagian daripada kediaman ibu saudaranya Surati Kamisan, 62, terletak bersebelahan.

KEADAAN rumah Muhammad Rafiq Abu Samah, 26 yang musnah akibat kejadian kebakaran yang berlaku di Semabok. Foto Iqmal Haqim Rosman

Sementara itu Surati berkata, peralatan seperti pendingin hawa dan televisyen baharu dibeli menggunakan wang pemberian anak-anaknya sempena Aidilfitri turut musnah dalam kebakaran.

Ibu tunggal itu yang masih trauma dengan kebakaran berlaku berkata, sebahagian dinding rumah yang baru dicat turut terjejas akibat kebakaran berlaku.

Sebelum kejadian dia yang sedang menonton tayangan filem Hindustan, namun berasa ada yang tidak kena selepas menghidu bau hangit kemudian disusuli letupan kecil.

SURATI Kamisam,62 melihat keadaan rumahnya yang mengalami kerosakan akibat rumah jiran yang juga merupakan anak saudaranya yang terbakar di Semabok. Foto Iqmal Haqim Rosman

Kerana curiga Surati, bergegas keluar ke anjung rumah dan ketika itu melihat bahagian belakang rumah anak saudaranya sedang dijilat api.

“Dalam keadaan cemas saya berlari untuk menyelamatkan diri dan pada masa yang sama menjerit meminta tolong daripada jiran bersebelahan.

“Kebiasaannya waktu seperti itu saya ambil peluang berehat dan tidur, tetapi pada hari kejadian saya sukar nak lelapkan mata. Jika saya terlena pada hari kejadian tidak tahu apa berlaku kepada saya.

“Mujurlah bomba cepat sampai kalau tidak mungkin habis keseluruhan rumah musnah terbakar. Memang tidak sangka, sedang kita dalam kemeriahan hari raya sekelip mata sahaja diuji sebegini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

864
Kongsi :
Previous post Rakyat jadi ‘hakim’ nilai prestasi kerajaan 100 hari mentadbir
Next post Polis siasat video tular anggota trafik kasari lelaki
Ubah saiz-+=