(UPDATE 2) Rakyat Melaka mengundi 20 Nov tentu kerajaan negeri

Masa Membaca:1 Minit, 54 Saat

BANDAR MELAKA 18 Okt – Melaka akan mengundi pada 20 November untuk Pilihan Raya Negeri (PRN), bagi memilih satu kerajaan negeri.

Negeri bersejarah ini mulai merasai demam pilihan raya apabila Dewan Undangan Negeri (DUN) terpaksa dibubarkan selepas empat wakil rakyat pihak kerajaan mengisytiharkan tidak lagi menyokong parti pemerintah.

Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menetapkan hari penamaan calon ditetapkan pada Isnin 8 November. Ini bermakna parti-parti yang bertanding mempunyai tempoh selama 12 hari untuk berkempen.

PRN Melaka dijangka menyaksikan pertandingan di semua 28 kerusi DUN. Inilah pertama kalinya sebuah negeri di semenanjung Malaysia mengadakan PRN bersendirian dan bukan semasa Pilihan Raya Umum.

ABDUL Ghani mengadakan sidang akhbar Mesyuarat Khas Berkaitan Urusan PRN Melaka di sebuah hotel di Bandar Melaka, sebentar tadi. Foto MR. Azli

Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh memberitahu sidang akhbar di sini hari ini, hari pengundian awal adalah pada 16 November.

Seramai 495,196 pengundi layak mengundi berdasarkan senarai pengundi yang dikemaskini pada 3 Oktober 2021.

Beliau juga berkata, sebanyak 28 pusat penamaan calon dan 28 pusat penjumlahan rasmi undi akan digunakan.

Manakala 217 pusat mengundi membabitkan 1,109 tempat mengundi (saluran) mengundi dan 31 pusat mengundi awal.

Ia membabitkan seramai 12,290 petugas yang akan dilantik bagi mengendalikan proses pilihan raya berkenaan.

Katanya, waktu mengundi akan bermula jam 8 pagi sehingga 5.30 petang.

Mengenai pandemik COVID-19, beliau berkata beberapa SOP baharu akan diperkenalkan.

Beliau berkata, dianggarkan sebanyak RM46 juta diperlukan bagi menjalankan PRN Melaka ini.

SPR menyasarkan 70 peratus pengundi akan keluar mengundi.

Bagi menggalakkan pengundi supaya keluar menunaikan tanggungjawab mereka pada hari mengundi, SPR akan melaksanakan kempen ‘Jom Kita Undi’ melalui pelbagai saluran media termasuk media elektronik, media sosial dan hebahan melalui siar raya dan pemasangan kain rentang di lokasi strategik tumpuan awam.

Suhu politik Melaka menjadi panas apabila empat wakil rakyat, termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Udang, Datuk Seri Utama Idris Haron mengisytiharkan menarik sokongan terhadap parti kerajaan

Sebelum dibubarkan, DUN Melaka dikuasai oleh Perikatan Nasional (PN) yang mengambil alih kuasa daripada Pakatan Harapan (PH) pada Mac 2020. PN memiliki 17 kerusi DUN, sementara PH 11.

PN hilang majoriti apabila Idris dan tiga lagi ADUN yang meyokong beliau  mengumumkan mereka tidak lagi bersama dengan PH.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

927
Kongsi :
Previous post SPR sasar 70 peratus rakyat Melaka keluar mengundi- Abdul Ghani
Next post PRN Melaka: SPR akan cadang waktu keluar mengundi
Ubah saiz-+=