Tabika anak autisme B40 di setiap daerah – Exco

Masa Membaca:1 Minit, 10 Saat

TELOK MAS 7 Mei – Kerajaan Negeri bercadang mewujudkan sebuah Taman Bimbingan Kanak-kanak (Tabika) khas untuk anak-anak autisme yang mahu mendapatkan terapi cara kerja dan pertuturan.

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata bagaimanapun keutamaan bagi kemasukan ke Tabika berkenaan akan diberikan kepada anak-anak daripada keluarga B40.

Menurutnya, kemudahan itu dicadangkan untuk diwujudkan di semua daerah di Negeri Melaka dengan pelaksanaan dijangka selewat-lewatnya pada tahun hadapan.

“Bagi menjayakan perkara ini Kerajaan Negeri akan bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), kita tidak mahu ada dalam kalangan anak-anak autisme ini keciciran daripada mendapat pendidikan awal.

“Fokus kita adalah bagaimana terapi cara kerja dan pertuturan, ini boleh diberikan kepada anak-anak istimewa kerana kita lihat ibu bapa sudah mula ada kesedaran terhadap pendidikan awal anak autisme.

“Anak autisme ini tidak boleh diberikan terapi hanya sebulan sekali, mereka perlu diberikan terapi setiap hari, tetapi kos untuk sekali terapi adalah RM70, jadi ramai keluarga B40 tidak mampu,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Kempimpinan Negeri Melaka Bersama Kakitangan Kemas dan Sambutan Aidilfitri di Pusat Kegiatan Masyarakat Kemas di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan Pembangunan Kemas, Rafe’ah Nahar dan Pengarah Kemas Negeri Melaka, Asri Saleh.

Mengulas lanjut, beliau berkata cadangan itu akan dibincangkan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dan pembentangan bajet negeri September nanti.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

100
Kongsi :
Previous post Simbah asid pemain bola sepak: Seorang lagi ditahan, reman lima hari
Next post Seorang maut, seorang cedera dalam kejadian pokok tumbang hempap 17 kenderaan
Ubah saiz-+=