Ketua Menteri raikan 430 warga pendidik SRA JAIM Alor Gajah

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

TANJUNG BIDARA 7 Mei – Warga pendidik Sekolah Rendah Agama (SRA) Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) memainkan peranan penting untuk membimbing generasi muda agar tidak leka atau terpengaruh dengan unsur negatif dalam suasana dunia tanpa sempadan ketika ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, bukan sekadar memberikan pendidikan agama secukupnya, guru SRA JAIM bertanggungjawab dalam membentuk kemenjadian generasi muda, sekali gus melahirkan modal insan berkualiti.

Meskipun sibuk dengan tugas pentadbiran negeri, Ab Rauf turut mengambil tahu perkembangan dan aktiviti warga pendidik SRA JAIM khusus di Daerah Alor Gajah yang disifatkan beliau sebagai telah melaksanakan anjakan yang signifikan menerusi beberapa pencapaian yang membanggakan.

“Saban tahun, warga pendidik SRA JAIM Daerah Alor Gajah telah banyak melakar kejayaan antaranya mengekalkan rekod 10 tahun berturut-turut sebagai daerah terbaik dalam Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK), melahirkan pelajar terbaik peringkat kebangsaan dan sekolah KAFA terbaik peringkat Kebangsaan serta banyak lagi.

“Secara peribadi, saya amat berbesar hati dan bertuah kerana dapat memanfaatkan ruang waktu bersemuka dengan 430 orang warga pendidik SRA JAIM yang telah banyak menyumbang jasa serta khidmat bakti dalam bidang pendidikan Negeri Melaka khususnya di Daerah Alor Gajah,” kata Ketua Menteri.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Raya Dan Rumah Terbuka Guru-Guru SRA JAIM Daerah Alor Gajah di Villa d’Acqua, Kampung Pulau, Masjid Tanah, di sini, hari ini.

Hadir sama pada majlis itu Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan JAIM, Ab Khawi Che Abdul Rahman dan Pengerusi Majlis Guru Besar SRA JAIM Daerah Alor Gajah, Shamsiah Zakariah.

Menurut Ketua Menteri penganjuran majlis seumpama itu secara tidak langsung dapat mengeratkan silaturahim yang akhirnya melahirkan semangat kesepaduan dan muhibah dalam kalangan warga pendidik.

“Saya percaya, program seumpama ini juga mampu memupuk jalinan ukhwah antara pemimpin dan warga pendidik Negeri Melaka selain mensyukuri nilai kebersamaan dan perpaduan yang kita kecapi sehingga hari ini,” katanya.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

218
Kongsi :
Previous post Sasar lebih banyak syarikat tempatan Melaka disenarai di Bursa Malaysia
Next post Sasar bina 4 lagi perpustakaan luar bandar
Ubah saiz-+=