Rawatan Zon Hijau Hospital Melaka dipindah ke Klinik Kesihatan Peringgit

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

AYER KEROH 18 Julai – Zon Hijau Jabatan Kecemasan & Trauma Hospital Melaka ditutup bermula esok bagi mengurangkan kesesakan dan kelewatan pesakit mendapatkan rawatan kes-kes ringan dan tidak kritikal.

Exco Kesihatan Datuk Rahmad Mariman berkata, penutupan itu selepas pemantauan dan penilaian mendapati berlaku kesesakan di zon itu menyebabkan ketidakselesaan serta kelewatan pesakit bagi mendapatkan rawatan.

“Dengan penutupan ini perkhidmatan Zon Hijau akan dipindahkan ke Klinik Kesihatan Peringgit yang jaraknya hanya 1.5 kilometer dari Hospital Melaka.

“Waktu operasi perkhidmatan di Klinik Kesihatan Peringgit yang sebelum ini dari jam 8 pagi hingga 9.30 malam setiap hari kecuali hari kelepasan am dipanjangkan kepada 24 jam bermula 19 Julai 2021 (Isnin),” katanya dalam kenyataan media hari ini.

RAHMAD. Foto fail.

Rahmad berkata, Jabatan Kesihatan negeri juga akan memantapkan perkhidmatan Kesihatan Awam Jabatan Kesihatan dengan menutup sementara Klinik Komuniti (KKom) melibatkan 16 Klinik Komuniti di ketiga-tiga daerah.

“Keputusan ini sebagai strategi mengukuhkan keperluan sumber manusia di fasiliti kesihatan awam termasuklah mobilisasi kakitangan dari Klinik Komuniti untuk memberi tumpuan kepada perkhidmatan yang lebih memerlukan.

“Ia meliputi Pusat Penilaian COVID-19 (CAC), Pusat Pemberian Vaksin (PPV), Pusat Saringan Covid-19, Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) serta di fasiliti kesihatan lain.

“Penutupan sementara ini melibatkan semua Klinik Komuniti dengan purata kedatangan harian di Klinik Komuniti terbabit adalah kurang dari 40 pesakit,” katanya.

Katanya bagaimanapun Klinik Komuniti Batang Melaka di Daerah Jasin dikecualikan kerana purata kedatangan harian melebihi 100 pesakit.

“Berikutan penutupan sementara ini, perkhidmatan Klinik Komuniti termasuk penjagaan luka akan dilakukan di Klinik Kesihatan berhampiran, manakala selepas waktu pejabat di Klinik-klinik Kesihatan yang menjalankan dua shif.

“Langkah ini dapat memberi lebih keselesaan kepada pesakit yang mendapatkan rawatan sekali gus dapat menumpukan perhatian bagi rawatan pesakit yang lebih serius dan kritikal serta pesakit-pesakit COVID-19,” katanya sambil menambah penutupan itu berkuat kuasa hingga tarikh diumumkan kelak.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3398
Kongsi :
Previous post 150 penduduk Perkampungan Portugis dipakaikan ‘gelang pink’
Next post ‘Bikin’ kopi depan pelanggan
Ubah saiz-+=