150 penduduk Perkampungan Portugis dipakaikan ‘gelang pink’

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

UJONG PASIR 18 Julai – Seramai 150 penduduk Perkampungan Portugis, di sini, diarahkan menjalani ujian calitan COVID-19 bertempat di pentas utama Portuguese Settlement, hari ini.

Seawal jam 9 pagi, tujuh petugas dari Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Melaka Tengah tiba untuk melakukan ujian calitan kepada penduduk yang dipercayai kontak rapat kepada kes dari Kluster Jalan D’Aranjo.

 

KANAK-kanak portugis dipakaikan ‘gelang pink’ selepas saringan Covid-19 serta menjalani kuarantin kendiri di rumah. Foto: MR. Azli

Tinjauan Melaka Hari Ini mendapati rata-rata penduduk hadir dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Mereka yang hadir untuk ujian calitan RT-PCR di situ termasuklah warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan kanak-kanak.

Kesemua mereka dipakaikan gelang merah jambu terlebih dahulu oleh petugas, sebelum menjalani ujian calitan dan diarahkan pulang untuk menjalani kuarantin di rumah masing-masing.

Difahamkan, ujian saringan itu dilakukan secara berperingkat sehingga tengah hari ini, bertujuan untuk mengawal penularan wabak COVID-19 di kawasan berkenaan.

KANAK-KANAK, OKU dan warga emas hadir untuk ujian calitan RT-PCR. Foto- MR Azi.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Kemajuan Kampung (JPKK) Perkampungan Portugis, Marina Linda Danker berkata, keadaan di kawasan berkenaan kini semakin terkawal sejak lebih 1,000 penduduk kampung itu menjalani kuarantin kendiri.

Katanya, sejak kes pertama dilaporkan, pihaknya bersama agensi kerajaan negeri untuk melakukan sanitasi sebanyak lima kali di kawasan itu.

“Keadaan sekarang makin terkawal, tetapi kita terus membuat pemantauan berterusan dan meminta penduduk untuk terus kekal di rumah bagi memutuskan penularan pandemik COVID-19 ini,” katanya.

Kluster D’Aranjo diumumkan pada 14 Julai lalu yang mula dikesan daripada seorang lelaki berusia 20 tahun yang disahkan positif pada 10 Julai lalu.

Kluster itu dipercayai merebak berpunca daripada aktiviti kunjung-mengunjung di perkampungan berkenaan, baru-baru ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

890
Kongsi :
Previous post MUFC hampir ‘ratah’ juara 33 kali Piala Malaysia di Jebat
Next post Rawatan Zon Hijau Hospital Melaka dipindah ke Klinik Kesihatan Peringgit
Ubah saiz-+=